Pas perlu belajar dari AMANAH, kata Presiden MIC
MIC menyarankan Pas mencontohi AMANAH yang walaupun memperjuangkan Islam, tetapi tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan masyarakat Cina dan India di negara ini.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, atas sebab itulah AMANAH lebih mudah diterima dalam masyarakat majmuk berbanding Pas.
Beliau turut menasihatkan supaya Pas menghentikan naratif yang boleh menjarakkan hubungan antara kaum dan sebaliknya mengambil pendekatan lebih sederhana dalam mendekati masyarakat majmuk.
“Pas perlu belajar daripada AMANAH. Kedua-duanya memperjuangkan Islam tetapi AMANAH tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan masyarakat Cina dan India. Sebab itu mereka lebih mudah diterima dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan Malaysia adalah hak orang Melayu, dan bukan orang Cina mahupun India.
Sanusi mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis serta berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.
Vigneswaran berkata, kenyataan Sanusi membuktikan mengapa komponen Barisan Nasional (BN) perlu bergerak secara solo tanpa sebarang kerjasama dengan PN.
Katanya dalam nada kecewa, kenyataan seumpama itu bukan sahaja mampu memecah-belahkan masyarakat majmuk, malah meletakkan MIC dan parti-parti komponen BN dalam kedudukan sukar kerana terpaksa berdepan dengan naratif bercanggah dengan semangat perpaduan yang selama ini diperjuangkan.
Pada masa sama, beliau sendiri menolak dakwaan bahawa orang Melayu sedang kehilangan tanah air atau kuasa politik dengan menyifatkan naratif tersebut tidak berpijak kepada realiti.
Katanya, orang Melayu terus menerajui pentadbiran negara sejak merdeka, manakala kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera kekal dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada siapa yang mengambil tanah orang Melayu. Tiada siapa yang menghapuskan kuasa politik orang Melayu. Naratif ancaman seperti ini tidak perlu diteruskan kerana ia hanya menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan rakyat,” ujarnya.