Calon BN didakwa elak cukai dengan beri maklumat salah kepada LHDN?
Seorang calon Barisan Nasional (BN) didakwa terlibat dalam satu kes pelarian cukai selepas dikatakan memasukkan maklumat yang tidak tepat dalam deklarasi penjualan sahamnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ekoran tindakan beliau memasukkan maklumat yang salah, penjualan saham bernilai RM12 juta didakwa tidak dikenakan sebarang cukai oleh LHDN.
Menurut pendedahan dibuat seorang pengguna Threads rifkiamal, calon tersebut telah menjual sahamnya dalam MDFM Sdn Bhd bernilai RM12 juta. MDFM Sdn Bhd dikatakan mempunyai kaitan dengan MTU Services (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat yang terlibat dalam tender LCS.
Apa yang dibangkitkan ialah isu nombor kad pengenalan calon berkenaan dalam dokumen deklarasi kepada LHDN.
Nombor kad pengenalan yang tertera dalam dokumen tersebut didapati tidak wujud apabila disemak dalam sistem SPR.
Justeru, dia mempersoalkan sama ada ia sekadar tersilap isi atau sengaja disalah isi untuk elak daripada dicukai.
Di bawah adalah perkongsian penuh individu tersebut;
Tersilap atau sengaja silap? Baru-baru ini tiba-tiba isu LCS muncul semula. Rasanya rakyat Malaysia secara umum sudah tahu berkaitan isu LCS ini.
Namun sedang syok mengkaji pasal isu ini, terjumpa satu perkara yang agak pelik.
Begini ceritanya, salah seorang calon BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini telah menjual sahamnya dalam Syarikat MDFM SDN BHD bernilai RM12 juta.
MDFM SDN BHD ini pula adalah bapa kepada syarikat MTU Services (M) SDN BHD yang menang tender LCS.
Apa yang peliknya apabila penjualan saham ini dilakukan oleh calon BN tersebut, beliau perlu buat deklarasi kepada LHDN.
Pada dokumen yang aku jumpa dan lihat ini, ada nama calon BN tersebut bersama nombor kad pengenalannya. Apa yang mengejutkan bila semak dalam sistem SPR, nombor kad pengenalan tersebut tidak wujud!
Serius takkan urusan rasmi macam ini boleh tersilap isi nombor kad pengenalan melainkan sengaja salah isi? Aku tanya dengan member yang ada pengalaman dengan urusan jual beli seperti ini.
Kata dia kalau nombor kad pengenalan itu silap, nanti sistem LHDN takkan detect pendapatan hasil jualan saham bernilai RM12 juta itu dan kemungkinan dia tak dikenakan cukai.
Serius lah, macam itu je terlepas daripada bayar cukai. Balik kepada persoalan asal, tersilap atau sengaja silap? Kalau dah bayaran stamps pun lebih RM150,000, bayaran cukainya tentu lebih lagi, kan?