MP DAP gesa Sanusi disiasat kerana ceramah kempen berbaur perkauman

Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terhadap kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berbaur perkauman dalam ceramah kempennya di Negeri Sembilan.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP berkata, kenyataan pemimpin Pas itu bukan sahaja tidak sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu, malah jelas menunjukkan sikap tidak menghormati persefahaman antara kaum yang telah lama diterapkan di negara ini.

Beliau mendakwa kenyataan Sanusi itu memberi gambaran bahawa masyarakat India dan Cina tidak tergolong sebagai sebahagian daripada rakyat negara ini kerana mereka kononnya boleh kembali ke negara asal masing-masing.

“Melihat betapa seriusnya perkara ini, saya menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terhadap Sanusi. 

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan insiden dan kenyataan seumpama itu terus berulang, khususnya sepanjang kempen pilihan raya ini, sekali gus menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu pada masa sama mendesak MIC dan MCA menyatakan pendirian mereka mengenai kenyataan Sanusi itu selepas menggambarkan orang Cina dan India seperti bukan rakyat negara ini.

Beliau berkata, parti komponen BN itu perlu menyatakan pendirian mereka termasuk sama ada mereka bersedia untuk meninggalkan BN atau tidak.

“Parti komponen BN (iaitu) MIC dan MCA mesti menyatakan pendirian mereka mengenai pendirian Pas, terutamanya sama ada mereka bersedia untuk meninggalkan BN.

“Ini kerana pendirian sedemikian boleh membawa kesan yang meluas terhadap keharmonian kaum yang telah lama menjadi tonggak negara kita yang tercinta.

“Seruan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran supaya BN bergerak secara solo tidak akan mengurangkan kerosakan yang dilakukan oleh Pas. Malah, perkara itu mungkin tidak akan berlaku kerana Umno sendiri masih belum mengecam Pas berhubung isu tersebut,” katanya lagi.

Ramkarpal berkata, sikap Pas yang terang-terangan tidak mempedulikan sensitiviti kaum, ditambah pula dengan keengganan Umno untuk menegurnya merupakan satu perkara yang membimbangkan.