‘Copy-paste’ manifesto kami? Tok Min gelak tengok janji BN

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun(Tok Min) menyindir manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menyifatkannya sebagai “kelakar” kerana beberapa tawaran yang diumumkan didakwa hanyalah mengulangi kejayaan yang telah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, manifesto PH sebelum ini pernah dipandang sinis dan didakwa mustahil untuk ditunaikan, namun kini pencapaian tersebut dijadikan asas kepada manifesto BN.

“Dulu masa kita melancarkan manifesto, mereka kata manifesto saya tidak boleh ditunaikan. Hari ini, sah dan terbukti manifesto saya yang saya laksanakan, ‘copy-paste’ semula oleh BN,” katanya ketika berucap pada satu program kempen.

Aminuddin turut mempertikaikan sasaran BN untuk membawa masuk pelaburan bernilai RM30 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, rekod pelaburan semasa Negeri Sembilan menunjukkan sasaran itu bukan sahaja realistik, malah hampir dicapai dalam tempoh jauh lebih singkat.

“Tahun lepas sahaja kita mencatat pelaburan sebanyak RM19.1 bilion. Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, hampir RM13 bilion telah direkodkan.

“Ini sudah menyamai malah melebihi apa yang mereka janjikan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, angka tersebut membuktikan prestasi kerajaan negeri di bawah PH jauh mengatasi sasaran yang kini dijadikan janji pilihan raya oleh BN.

Mengulas dakwaan pembangkang berhubung projek pembangunan yang didakwa terbengkalai, Aminuddin berkata isu sedemikian bukan sesuatu yang baharu dan turut berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Katanya, masih terdapat beberapa projek yang gagal disiapkan sejak era pentadbiran sebelum ini, termasuk sebuah bangunan di pusat bandar Seremban yang bukan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Justeru, beliau menggesa rakyat menilai prestasi berdasarkan rekod pencapaian sebenar, bukannya dakwaan atau janji yang menurutnya telah pun dibuktikan mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri sedia ada.

BACA JUGA Dulu semak samun dan paya – Pengarah PTG imbau sumbangan Tok Min hidupkan pembangunan Kuala PilahÂ