Dulu semak samun dan paya – Pengarah PTG imbau sumbangan Tok Min hidupkan pembangunan Kuala Pilah 

Kawasan yang suatu ketika dahulu dipenuhi semak samun dan paya kini mula berubah menjadi pusat pembangunan baharu susulan sokongan kerajaan negeri terhadap cadangan pembangunan di Kuala Pilah.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, perubahan yang berlaku menunjukkan sesuatu perancangan hanya dapat direalisasikan apabila mendapat perhatian dan sokongan daripada kepimpinan kerajaan negeri.

Mohd Faizal yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah berkata, beliau masih mengingati keadaan kawasan berkenaan ketika melaluinya pada 2014.

“Kalau saya lalu kawasan ini pada tahun 2014, saya nampak semak samun dan paya. Orang ketika itu menganggap Kuala Pilah sebagai kawasan pedalaman yang tiada apa-apa untuk dibangunkan,” katanya ketika berucap dalam satu program kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.

Menurut beliau, keadaan mula berubah selepas Datuk Seri Aminuddin Harun mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan pada 2018 apabila beberapa cadangan pembangunan daerah itu diberikan perhatian.

“Dalam tempoh pentadbiran Tok Min, pelbagai pembangunan, kemajuan dan kemudahan berjaya dibawa ke Kuala Pilah.

“Dulu kita ada berpuluh-puluh, malah beratus-ratus idea untuk membangunkan kawasan ini, tetapi tidak menjadi kerana tidak mendapat sokongan pihak atasan,” katanya.

Mohd Faizal berkata, pendekatan kerajaan negeri kini membolehkan cadangan yang berpotensi memberikan manfaat kepada penduduk dipertimbangkan dan diselaraskan dengan lebih pantas.

“Apa sahaja cadangan untuk kebaikan warga Kuala Pilah dan rakyat dirumuskan dengan begitu pantas kerana Menteri Besar sentiasa memikirkan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyentuh pembangunan Kuala Pilah 2 yang menurutnya dirancang melibatkan kira-kira 1,500 unit kediaman.

Katanya, pembangunan itu bukan lagi sekadar cadangan di atas kertas apabila pihak pemaju sudah memulakan persediaan, termasuk pembinaan rumah contoh dan kerja menaik taraf pintu masuk ke kawasan berkenaan.

Mohd Faizal berkata, pembangunan tersebut dijangka membantu memperluas kawasan pertumbuhan Kuala Pilah, selain menyediakan lebih banyak peluang perumahan dan kegiatan ekonomi kepada penduduk.

Beliau turut menyatakan aspirasi supaya Kuala Pilah berkembang sebagai sebuah bandar yang lebih moden menjelang 2035.

Sehubungan itu, katanya, kesinambungan pentadbiran yang menyokong agenda pembangunan penting supaya projek dirancang dapat diteruskan dan disiapkan untuk manfaat rakyat.

“Kalau kita mahu Kuala Pilah terus membangun dan muncul sebagai sebuah bandar, kesinambungan kepimpinan yang ada hari ini perlu dipertahankan,” katanya.

BACA JUGA Samsuri sanggah Zahid, Sanusi bebas berkempen di Negeri Sembilan