‘Tempat dibuang daerah, kini tempat penuh kenangan’ – Bang Mat kembali ke Kuala Pilah

Pengalaman pernah dikenakan tahanan daerah di Kuala Pilah lebih dua dekad lalu kembali dikenang Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang menyifatkan episod itu sebagai antara fasa paling bermakna dalam hidupnya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Bang Mat berkata beliau bersyukur kerana berpeluang kembali ke Kuala Pilah dan bertemu semula individu yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah hidupnya.

“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dibuang daerah.

“Kuala Pilah sentiasa dekat di hati Bang Mat. Di bumi inilah Bang Mat pernah dikenakan tahanan daerah selama dua tahun,” katanya.

Menurut beliau, antara detik yang paling menyentuh hati ialah pertemuan semula dengan Dato’ Ujang, pegawai polis yang pernah membawanya dari lokap Bukit Aman ke Kuala Pilah ketika dikenakan tahanan daerah.

Mohamad berkata hubungan mereka kekal baik sehingga hari ini kerana beliau tidak pernah menyimpan dendam terhadap mana-mana anggota keselamatan.

“Bang Mat tidak pernah berdendam dengan mana-mana anggota keselamatan. Mereka hanya menjalankan amanah dan tugas yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menziarahi keluarga Allahyarham Ustaz Hashim Ghani, guru tafsir al-Quran yang membimbingnya sepanjang tempoh berada di Kuala Pilah.

Menurutnya, walaupun Allahyarham telah lama meninggal dunia, beliau bersyukur kerana masih dapat bertemu dan mengeratkan silaturahim dengan anak-anak Allahyarham.

Mohamad berkata pengalaman dibuang daerah yang pada awalnya dianggap satu ujian akhirnya membawa hikmah besar apabila beliau berpeluang mendalami ilmu tafsir al-Quran di bawah bimbingan Allahyarham Ustaz Hashim.

“Apabila dikenang kembali, pengalaman dibuang daerah itu sebenarnya membawa hikmah yang besar. Di situlah Bang Mat berpeluang mendalami ilmu tafsir al-Quran,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allahyarham Ustaz Hashim serta guru-guru dan sahabatnya yang telah meninggal dunia dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Al-Fatihah buat semua guru dan sahabat Bang Mat yang telah terlebih dahulu kembali ke rahmatullah. Semoga kita dipertemukan kembali di syurga-Nya, insya-Allah,” katanya.

BACA JUGA Emas pertama milik Malaysia!’ Anwar ucap tahniah kepada Mohamad Aniq