Mengejutkan! Umno dakwa Istana Negeri Sembilan dikawal DAP

Kenyataan Ketua Penerangan Umno Rembau, Shukri Samsudin yang mendakwa kuasa negeri termasuk institusi istana dan Menteri Besar Negeri Sembilan dikuasai DAP mengejutkan dan mengundang kecaman orang ramai.

Dalam ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Shukri meminta pengundi membayangkan keadaan maruah orang Melayu apabila kuasa negeri didakwa berada dalam genggaman DAP.

“Tuan-tuan bayangkan apa maruah kita, sampai istana, negeri, menteri besar, kuasa negeri habis dipegang oleh DAP ini?

“Sebab itu, ini adalah cara kita bersatu semula, kuatkan balik semangat kita.

“Yang penting sekarang, kita tolak Pakatan Harapan, biar mereka kekal berharap selama-lamanya,” katanya dalam rakaman tular yang jelas menjentik isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) itu.

Rata-rata menyifatkan kenyataan pemimpin Umno berkenaan sebagai fitnah dan melampaui batas lantaran mengheret institusi istana Negeri Sembilan demi menang pilihan raya.

Terdapat warganet yang menegaskan bahawa sebagai orang Melayu tidak mempunyai masalah dengan DAP, sekali gus menolak usaha menunggang sentimen kaum dalam kempen pilihan raya.

Tidak kurang juga yang memohon agar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diselamatkan, sambil menggesa pengundi menolak Umno-BN yang memainkan isu berkenaan.

Fitnah terdesak

Netizen turut mempersoalkan mengapa ceramah kempen tidak digunakan untuk menerangkan rancangan membantu rakyat dan memperbaiki kawasan yang ditandingi.

“Bukannya ceramah bagitahu macam mana nak bantu rakyat, perbaiki kawasan yang bertanding,” kata seorang pengguna.

Ada juga yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai fitnah terdesak dan mendakwa pengundi kini semakin matang untuk menilai kempen berasaskan ketakutan serta sentimen perkauman.

“Fitnah terdesak. Maaf cakap, ramai dah cerdik,” kata netizen.

Dalam masa sama, ada turut mempersoalkan hukuman terhadap pihak yang menabur fitnah, manakala beberapa komen menyindir kecenderungan BN dan Pas berulang kali menggunakan DAP sebagai modal politik.

“Jahat Umno ni. Apa hukuman tabur fitnah?”

“DAP, DAP, DAP… pening dah BN, UMPAS,” tulis mereka.

Netizen turut mengingatkan bahawa kemenangan yang dibina melalui dakwaan tidak berasas tidak membawa sebarang makna.

“Menang atas fitnah tiada makna,” tegas orang ramai lagi.

BACA JUGA AMANAH simpati dengan Mahiaddin, PN yang dibentuk dibawa lari oleh Pas