Jalal kata jangan usik tulisan Cina, netizen pula teringat Akmal
Kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan mengganggu penggunaan tulisan Cina pada papan tanda dan nama jalan mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan ramai pengguna mengaitkannya dengan pendirian Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh.
Ucapan itu menjadi tular selepas Jalaluddin memberi jaminan kepada masyarakat Cina ketika berkempen di Pertang bahawa identiti dan penggunaan tulisan Cina pada papan tanda akan terus dihormati.
Bagaimanapun, di sebalik jaminan itu, ruang komen media sosial dipenuhi pelbagai reaksi yang mempersoalkan sama ada kenyataan tersebut selari dengan pendirian yang sering dibawa Akmal berhubung isu papan tanda dwibahasa.
Antara komen yang paling banyak dikongsi berbunyi:
“Akmal Salleh ada dalam WhatsApp group tak?”
Komen itu dipercayai merujuk kepada beberapa kenyataan Akmal sebelum ini yang lantang membangkitkan isu penggunaan tulisan Cina pada papan tanda.
Selain itu, beberapa komen lain yang turut mendapat perhatian ialah:
- “The real 2 faces.”
- “Ini kali Jalal lingkup.”
- “Hahaha… tersalah cakap ke tu?”
Terdahulu, Jalaluddin ketika berucap pada program kempen di Pertang berkata BN tidak bercadang mengubah atau mengganggu penggunaan tulisan Cina pada papan tanda dan nama jalan.
“Saya mahu cakap pada orang Cina di Pertang, itu signboard ada tulisan Cina, nama jalan ada tulis Cina, kita tidak mahu kacau. Itu tulisan Cina, Cina boleh terus pakai,” katanya.
Kenyataan itu pantas menarik perhatian warga maya yang melihat ia berbeza daripada polemik mengenai papan tanda dwibahasa yang pernah menjadi isu politik sebelum ini.
Setakat ini, Akmal belum mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai reaksi terhadap ucapan Jalaluddin, manakala Umno juga belum memberikan penjelasan sama ada pendirian yang dinyatakan itu mencerminkan dasar parti mengenai isu berkenaan.
Perdebatan tersebut berlaku ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memasuki fasa akhir, dengan parti-parti bertanding giat memancing sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
BACA JUGA ‘Kalau yakin, kenapa padam?’ – Netizen persoal tindakan Ketua Penerangan Umno Rembau