Kebajikan keluarga ATM kekal keutamaan MADANI
Kebajikan dan keselesaan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menjadi keutamaan kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meninjau kerja-kerja penyenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Markas Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin.
Beliau berkata, usaha menaik taraf kediaman anggota ATM bukan sekadar membaiki bangunan, sebaliknya memastikan anggota dan keluarga mereka dapat menikmati persekitaran yang lebih selesa serta kondusif.
Menerusi lawatan itu, Anwar meninjau beberapa unit RKAT yang sedang menjalani kerja-kerja baik pulih membabitkan pembaikan pelbagai kemudahan asas.
“Kerja-kerja baik pulih meliputi pembaikan kemudahan asas sedang dijalankan, dan ini penting bagi memastikan anggota dan keluarga mereka dapat mendiami rumah yang lebih selesa dan kondusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, kerajaan MADANI komited untuk terus memperkasakan kebajikan warga ATM sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
“Kebajikan dan keselesaan keluarga Angkatan Tentera Malaysia akan terus menjadi keutamaan saya dan jentera MADANI,” katanya.
Lawatan itu berlangsung sempena program Perdana Menteri bersama warga ATM di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Komitmen berkenaan selari dengan usaha kerajaan mempertingkat kesejahteraan anggota pasukan keselamatan, termasuk menaik taraf kemudahan kediaman dan infrastruktur bagi memastikan mereka serta keluarga menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
BACA JUGA Jalal kata jangan usik tulisan Cina, netizen pula teringat Akmal