Politik takfiri, perkauman dan gila kuasa ancam rakyat Malaysia

Oleh DR AZRIE AZEH

Landskap politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah memperlihatkan suatu perubahan besar dalam dinamika demokrasi negara.

Pembentukan kerajaan melalui kerjasama pelbagai kekuatan politik, perubahan pola sokongan rakyat, tuntutan terhadap kestabilan pentadbiran, cabaran ekonomi serta perkembangan geopolitik serantau telah membawa politik Malaysia memasuki fasa yang lebih kompleks.

Dalam suasana sedemikian, dapatlah dirumuskan, ukuran terhadap kematangan kepimpinan politik tidak lagi boleh dinilai hanya berdasarkan keteguhan mempertahankan pendirian lama atau keupayaan mengekalkan sokongan politik.

Sebaliknya, ia perlu dilihat berdasarkan kebijaksanaan dalam membuat keputusan, keupayaan menyesuaikan dasar dengan perubahan realiti serta kesungguhan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan kelompok.

Namun begitu, masih terdapat sebahagian wacana politik semasa masih lagi terperangkap dalam budaya yang melihat perubahan sebagai kelemahan, kompromi sebagai pengkhianatan prinsip, dan perbezaan pandangan sebagai ancaman.

Akibatnya, ruang perbahasan awam semakin dipengaruhi oleh sentimen, polarisasi dan retorik yang menghakis budaya ilmu dalam politik.

Dalam konteks inilah politik wasatiyyah menjadi semakin signifikan sebagai suatu pendekatan yang mampu menawarkan keseimbangan antara prinsip dan realiti, antara ketegasan nilai dan kebijaksanaan strategi, serta antara perbezaan pandangan dan keperluan membina kesepakatan nasional.

Politik wasatiyyah bukan bermaksud politik yang lemah atau mengambil sikap berkecuali terhadap semua perkara.

Sebaliknya, ia merupakan pendekatan yang berasaskan keadilan, hikmah, kesederhanaan dan pertimbangan terhadap kemaslahatan umum.

Dalam tradisi politik Islam, konsep ini berakar daripada gagasan ummatan wasatan yang membawa makna umat yang adil, seimbang dan mampu menjadi contoh kepada manusia.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, politik wasatiyyah mempunyai nilai yang sangat besar kerana ia selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen serta cita-cita membina sebuah negara bangsa yang bersatu dalam kepelbagaian.

Menyemak keputusan politik

Salah satu cabaran utama dalam politik ialah persepsi bahawa perubahan keputusan atau pendekatan merupakan tanda ketidakstabilan.

Hakikatnya, politik ialah bidang yang sentiasa berhadapan perubahan realiti. Sesuatu keputusan yang sesuai pada satu masa mungkin perlu dinilai semula apabila berlaku perubahan ekonomi, sosial, keselamatan atau geopolitik.

Sebab itu, setiap keputusan politik hendaklah disemak pencapaiannya dan dikaji kesesuaian kerana persekitaran politik sentiasa berubah.

Dalam tradisi intelektual Islam, perkara ini dihuraikan melalui konsep ijtihad politik (ijtihad siyasah).

Ijtihad politik merujuk kepada usaha bersungguh-sungguh untuk membuat keputusan berkaitan pentadbiran negara berdasarkan penelitian terhadap realiti semasa, prinsip syariah dan kepentingan masyarakat.

Dalam fiqh siyasah, keputusan politik bukanlah sesuatu yang beku. Ia berada dalam ruang pertimbangan manusia yang memerlukan kebijaksanaan, pengalaman dan pemahaman terhadap keadaan sebenar masyarakat.

Oleh itu, perubahan keputusan politik tidak semestinya bermaksud perubahan prinsip, sebaliknya boleh menjadi tanda kematangan apabila dilakukan berdasarkan pertimbangan yang benar.

Sejarah pemerintahan Islam memberikan banyak contoh berkaitan perkara ini. Khalifah Umar ibn al-Khattab, misalnya, pernah menangguhkan pelaksanaan hukuman hudud bagi kes kecurian ketika berlaku musim kebuluran.

Keputusan tersebut bukan kerana mengabaikan hukum syarak, tetapi kerana memahami bahawa pelaksanaan keadilan memerlukan pertimbangan terhadap keadaan semasa dan konteks masyarakat ketika itu.

Prinsip yang sama dapat dilihat dalam pentadbiran moden. Kerajaan mungkin perlu menyemak dasar ekonomi, pendekatan sosial atau strategi pentadbiran apabila keadaan berubah.

Yang menjadi ukuran bukanlah sama ada keputusan itu berubah atau tidak, tetapi apakah rasional perubahan tersebut dan sejauh mana ia membawa manfaat kepada rakyat. Penjelasan yang rapi hendaklah diterangkan kepada rakyat.

Kerangka Maqasid Syariah

Setiap perubahan keputusan politik perlu dinilai melalui kerangka Maqasid Syariah, iaitu objektif utama syariat dalam memelihara kepentingan manusia.

Para sarjana seperti Imam Abu Ishaq al-Shatibi dan Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur menegaskan bahawa hukum dan pentadbiran Islam bertujuan merealisasikan kemaslahatan serta menolak kemudaratan.

Dalam kerangka ini, sesuatu keputusan politik tidak hanya dinilai berdasarkan bentuk luaran, tetapi berdasarkan kesannya terhadap masyarakat. Prinsip keadilan, kesejahteraan rakyat, kestabilan negara dan pemeliharaan kepentingan umum menjadi ukuran utama.

Pendekatan ini diperkukuhkan lagi melalui konsep Fiqh al-Waqi’ dan Fiqh al-Ma’alat. Fiqh al-Waqi’ menuntut pemimpin memahami realiti semasa sebelum membuat keputusan, manakala Fiqh al-Ma’alat menekankan keperluan dengan  melihat kesan jangka panjang sesuatu tindakan.

Tanpa memahami realiti, sesuatu keputusan mungkin kelihatan baik dari sudut teori tetapi gagal apabila dilaksanakan.

Tanpa mempertimbangkan kesan masa hadapan, sesuatu dasar mungkin memberikan manfaat sementara tetapi membawa mudarat yang lebih besar kemudian hari.

Tiga bentuk cabaran tiga ekstremisme

Walaupun politik wasatiyyah menawarkan jalan penyelesaian, pelaksanaannya berhadapan dengan beberapa cabaran besar.

Pertama, ekstremisme agama

Cabaran ini muncul apabila ruang ijtihad disempitkan sehingga setiap perbezaan pandangan mudah dianggap sebagai penyimpangan daripada ajaran agama.

Dalam bentuk yang lebih serius, muncul pula budaya politik takfiri yang cenderung melabel pihak yang berbeza pandangan sebagai tidak Islam, sesat atau tidak memperjuangkan agama. Keadaan ini sangat tidak sesuai terjadi dalam negara kita yang mempunyai pelbagai kaum.

Malah, pendekatan sedemikian bercanggah dengan keluasan tradisi ilmu Islam yang mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dalam perkara ijtihadi.

Para ulama sejak dahulu memahami bahawa perbezaan pandangan tidak semestinya membawa kepada permusuhan, bahkan boleh menjadi sumber kekayaan pemikiran apabila diurus dengan adab.

Kedua, ekstremisme perkauman

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, identiti bangsa merupakan sebahagian daripada realiti sejarah dan sosial yang perlu dihormati.

Namun, apabila identiti tersebut dieksploitasi secara berlebihan sehingga menjadi alat politik untuk membina ketakutan atau permusuhan, ia boleh mengancam keharmonian nasional.

Masyarakat kita hendaklah diberi pendedahan berkaitan dengan kontrak sosial yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Kontrak sosial di Malaysia ialah satu muafakat politik dan tolak ansur antara kaum Melayu dan bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Orang Melayu bersetuju memberi hak kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu, manakala kaum bukan Melayu bersetuju menerima kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, dan institusi beraja.

Politik yang matang tidak menafikan kepentingan identiti bangsa atau hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, ia mengurus kepelbagaian tersebut dalam kerangka keadilan, perpaduan dan tanggungjawab bersama sebagai warganegara.

Ketiga, ekstremisme kepartian

Budaya politik yang menjadikan kemenangan parti sebagai matlamat mutlak juga boleh menjadi penghalang kepada kematangan demokrasi.

Apabila semua keputusan dinilai berdasarkan keuntungan politik semata-mata, ruang untuk melakukan pembaharuan dan ijtihad politik menjadi semakin sempit.

Dalam keadaan ini, setiap perubahan dasar mudah dianggap sebagai kelemahan walaupun perubahan tersebut mungkin diperlukan demi kepentingan rakyat.

Perpecahan masyarakat

Perpecahan dalam sesebuah negara lazimnya tidak berlaku secara mendadak. Ia bermula apabila perbezaan pandangan gagal diurus secara matang dan apabila politik dibina atas dasar ketakutan, kebencian serta penolakan terhadap kelompok yang berbeza.

Apabila agama, bangsa atau ideologi digunakan secara berlebihan sebagai alat pemisah, masyarakat akan semakin terbahagi kepada kelompok yang saling mencurigai.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keharmonian sosial, bahkan boleh melemahkan kepercayaan terhadap institusi negara.

Malaysia sebagai sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian agama, bangsa dan budaya memerlukan pendekatan politik yang mampu menyatukan, bukannya memperluaskan jurang perbezaan.

Politik wasatiyyah mengajar bahawa kekuatan negara bukan terletak pada keseragaman pandangan, tetapi pada kemampuan mengurus perbezaan secara aman, beradab dan produktif.

Politik berteraskan hikmah

Dalam tradisi Siyasah Syar’iyyah, tokoh seperti Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa tujuan pemerintahan ialah menegakkan keadilan dan menjaga kemaslahatan rakyat.

Pemerintah tidak hanya bertanggungjawab mengekalkan keputusan lama, tetapi wajib melakukan penilaian semula apabila perubahan keadaan menuntut demikian.

Oleh itu, perubahan keputusan politik yang lahir daripada penelitian yang jujur, pertimbangan yang rasional dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan.

Sebaliknya, ia mencerminkan kepimpinan yang memahami bahawa amanah pemerintahan memerlukan keberanian untuk menyesuaikan pendekatan tanpa mengorbankan prinsip.

Malaysia tidak memerlukan politik yang membesarkan perbezaan sehingga memutuskan hubungan sesama rakyat.

Malaysia memerlukan politik yang mengangkat ilmu mengatasi emosi, hujah mengatasi propaganda dan kebijaksanaan mengatasi kebencian.

Rumusannya, politik wasatiyyah bukan sekadar suatu konsep ideal, tetapi suatu keperluan dalam menghadapi realiti politik Malaysia yang semakin kompleks.

Ia menawarkan jalan keluar daripada ekstremisme agama yang menutup ruang ijtihad, ekstremisme perkauman yang memecah-belahkan masyarakat dan ekstremisme kepartian yang mengutamakan kuasa mengatasi kepentingan rakyat.

Politik yang matang bukanlah politik yang enggan berubah, tetapi politik yang mampu melakukan penyesuaian secara bijaksana tanpa menggadaikan prinsip.

Sesungguhnya, roh politik wasatiyyah ialah politik yang berpaksikan keadilan, dipandu oleh hikmah, diperkukuh melalui ijtihad dan dihalakan kepada pembinaan sebuah negara yang bersatu, stabil, demokratik serta sejahtera untuk seluruh rakyat.