‘Ya, saya potong reben, tapi reben pelaburan berbilion’ – Tok Min jawab sindiran Mat Hasan

Sindiran bahawa beliau hanya “pandai potong reben” dibalas Datuk Seri Aminuddin Harun dengan menyenaraikan deretan projek pelaburan bernilai berbilion ringgit yang menurutnya membawa peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi kepada rakyat Negeri Sembilan.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata setiap majlis perasmian yang dihadirinya bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menandakan bermulanya projek pembangunan yang mencipta pekerjaan untuk anak tempatan.

“Antara reben-reben mahal yang saya potong sepanjang dua penggal ialah projek yang membawa pelaburan, pekerjaan dan masa depan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Kenyataan itu dilihat sebagai reaksi terhadap sindiran Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, yang sebelum ini mengkritik kepimpinan kerajaan negeri.

Aminuddin kemudian menyenaraikan beberapa projek utama yang telah dirasmikan sepanjang pentadbirannya.

Antaranya ialah F&N AgriValley di Gemas, sebuah ladang tenusu bersepadu berskala antarabangsa yang dijangka mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan berteknologi tinggi.

Beliau turut merujuk pembukaan kilang Samsung SDIEM di Seremban yang menyediakan lebih 1,300 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam industri bateri kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, katanya, hab pembuatan dan logistik pintar Dutch Lady Malaysia di Bandar Enstek membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran susu tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.

Turut disenaraikan ialah kilang peranti perubatan Antmed di Springhill, pelaburan Nexperia dalam sektor semikonduktor di Seremban serta pembangunan Gamuda Land Ecosmart Industrial Park yang memberi tumpuan kepada teknologi hijau dan industri mampan.

Aminuddin juga menyebut pembangunan SPD Tech Valley Senawang, Hamilton Nilai City oleh Sime Darby Property serta projek AI Midport dan Port Dickson Free Duty Zone (PDFZ) bernilai RM2 bilion yang disifatkannya bakal merancakkan ekonomi sekitar Pasir Panjang dan Linggi.

Menurut beliau, kesemua projek itu dirancang bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak tempatan, khususnya dalam sektor teknologi tinggi, logistik, kejuruteraan dan ekonomi hijau.

“Saya serius dan komited dalam memastikan pembangunan di Negeri Sembilan membawa manfaat kepada anak tempatan,” katanya.

Kenyataan Aminuddin hadir ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memasuki fasa akhir, dengan isu rekod pembangunan dan pencapaian kerajaan negeri menjadi antara bahan kempen utama kedua-dua gabungan politik.

BACA JUGA Tiada modal ekonomi hanya eksploitasi perkauman, Umno-Pas sampai heret istana dan ratib DAP