100,000 belia bakal dapat AI percuma, jom tengok syarat
Seramai 100,000 belia bakal menikmati akses langganan perisian kecerdasan buatan (AI) secara percuma selama tiga bulan menerusi program AI Untuk Rakyat, yang akan mula dibuka pada 31 Ogos ini.
Bagaimanapun, kemudahan itu hanya diberikan kepada peserta berusia 18 hingga 30 tahun yang berjaya menamatkan modul khas disediakan kerajaan.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah awal untuk memastikan manfaat teknologi AI dapat dinikmati secara lebih meluas, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Penggunaan AI untuk rakyat itu mesti ditingkatkan sebagai satu keutamaan.
“Kemudian caranya, AI Untuk Rakyat mesti melibatkan penawaran akses dan langganan perisian AI secara percuma kepada belia yang melengkapkan modul khusus di bawah program AI Untuk Rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia, hari ini.
Menurutnya, kerajaan akan menyediakan modul latihan khusus yang perlu diikuti peserta sebelum mereka layak menerima akses langganan perisian AI secara percuma.
“Kita akan sediakan modul-modul khusus dan berikan perisian AI secara percuma dengan syarat mereka mengikuti modul khusus yang ditetapkan,” katanya.
Anwar berkata, Kementerian Digital diberi tempoh dua minggu untuk menyiapkan modul latihan berkenaan sebelum program dilancarkan secara rasmi pada penghujung bulan depan.
Katanya, hanya peserta yang berjaya menamatkan latihan tersebut akan diberikan akses langganan percuma selama tiga bulan.
Beliau berkata, program itu menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan mempercepat penggunaan AI dalam kalangan rakyat serta membina bakat tempatan agar Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu menguasai dan memanfaatkannya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
BACA JUGA PH teruskan kempen berasaskan prestasi ketika PN-BN masih main isu Melayu-Islam