SARA masuk pasar tani?
Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berkemungkinan boleh menggunakan kredit bantuan itu di Pasar Tamu dan Pasar Tani melalui pembayaran kod respons pantas (QR), namun pelaksanaannya masih dalam penelitian kerajaan.
Jika kajian mendapati mekanisme itu berdaya maju dan mampan, keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, ketika ini penggunaan kredit SARA di Pasar Tamu atau Pasar Tani hanya boleh dilakukan sekiranya peniaga berkenaan merupakan Rakan Niaga SARA yang berdaftar.
“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu atau Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.
“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu atau Pasar Tani, ia masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian.
MoF turut memaklumkan rangkaian Rakan Niaga SARA terus berkembang dengan ketara bagi memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan.
Setakat 15 Julai 2026, lebih 13,700 premis di seluruh negara telah menjadi Rakan Niaga SARA, meningkat hampir 20 kali ganda berbanding hanya 700 kedai pada 2024.
Daripada jumlah itu, lebih 6,000 merupakan kedai runcit kecil yang kini turut menyertai program berkenaan.
Menurut kementerian, penerima SARA kini boleh memilih daripada kira-kira 140,000 produk yang layak dibeli di bawah skim tersebut.
Jawapan itu diberikan secara bertulis di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Larry Anak Asap yang meminta kerajaan mempertimbangkan peluasan penggunaan SARA di Pasar Tamu, sekali gus membolehkan lebih ramai penjaja dan peniaga kecil menikmati manfaat daripada program bantuan berkenaan.
BACA JUGA RENCANA | Sanusi: Naratif yang khilaf sejarah