Umno ingat boleh jadi nombor satu, rupanya Pas mahu jadi ‘Abang Long’
Umno dilihat sedang menggali lubang politiknya sendiri apabila kembali membuka ruang kerjasama dengan Pas, sedangkan parti dikepalai Tan Sri Abdul Hadi Awang itu mahu menjadi ‘Abang Long’ atau dominan dalam mana-mana gabungan.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, Umno mungkin melihat kerjasama tersebut sebagai platform untuk kembali menjadi parti nombor satu dalam kerajaan.
Namun, beliau berpendapat Pas pula mahu menggunakan Umno bagi memperkukuh kedudukan sebagai parti Melayu terbesar.
Menurutnya, beberapa kenyataan terbuka pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) sudah memberikan isyarat bahawa Umno tidak akan diberikan ruang terlalu besar jika kerjasama politik antara kedua-dua parti itu benar-benar berlaku.
“BN, seperti saya katakan, akan sekali lagi terjerat dengan kerjasama politik bersama Pas. Mereka sebenarnya sedang menggali lubang sendiri.
“Adakah anda fikir Pas hanya membiarkan Pemudanya ditarik jatuh bermain lumpur semata-mata untuk menyerahkan kawasan penyandang mereka?” soalnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berpandangan Pas mungkin hanya bersedia menawarkan antara lima hingga enam kerusi Parlimen yang sebelum ini ditandingi Bersatu, kerana bimbang kebangkitan semula Umno akan mengancam kedudukannya.
“Pas tahu jika mereka memberikan terlalu banyak kerusi, ia berbahaya kepada mereka.
“Ketua Pemuda Pas yang ditarik bermain lumpur itu sendiri pernah memberikan kenyataan secara terbuka, ‘Nak ubah Umno, jangan bagi menang banyak kerusi’,” katanya.
Paling banyak
Norman berkata, kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa jawatan menteri besar bergantung kepada parti yang memenangi kerusi paling banyak juga perlu diberikan perhatian.
Beliau mendakwa kenyataan itu menunjukkan Pas mahu memastikan parti berkenaan kekal dominan serta menjadi ‘abang long’ dalam apa-apa bentuk pakatan politik bersama Umno.
“Umno nampak kerjasama ini sebagai platform untuk mereka menjadi nombor satu dalam kerajaan.
“Namun, Pas melihatnya sebagai platform untuk menjadi kuasa besar dan, seperti menarik benang dalam tepung, menghancurkan Umno tanpa disedari,” katanya.
Norman turut mengingatkan pemimpin dan penyokong Umno supaya tidak terlalu yakin bahawa Pas memerlukan mereka untuk kembali berkuasa.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan anak bekas Presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, supaya tidak bersikap bongkak terhadap kesediaan Pas menjalinkan kerjasama dengan Umno.
Menurutnya, Umno berisiko “lemas sekali lagi” sekiranya tidak memahami strategi sebenar Pas dalam rundingan kerusi dan pembentukan kerajaan.
Norman mendakwa Pas mempunyai kelebihan kerana menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk mengekalkan sokongan pengundi Melayu, manakala Umno hanya bergantung kepada identiti Melayu.
“Pas ada candu Islam dan Melayu, tetapi Umno hanya ada Melayu.
“Pas akan cuba mengekalkan jumlah kerusinya sehingga dua kali ganda daripada Umno bagi memastikan mereka tidak dibuli dan boleh menjadi abang long dalam pakatan tersebut,” katanya lagi.
BACA JUGA Bangladesh hadapi masalah bekalan gas, PM Tarique mohon bantuan Malaysia