Undi awal selesai, SPR puji komitmen pengundi Negeri Sembilan jayakan demokrasi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merakamkan penghargaan kepada semua pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16, hari ini.
Menerusi kenyataan sebentar tadi, SPR berkata, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pengundi awal amat penting dalam memastikan perjalanan proses demokrasi negara berlangsung dengan lancar.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab pada hari ini, Selasa, 28 Julai 2026.
“Komitmen dan kerjasama anda dalam menjayakan proses demokrasi negara amat kami hargai. Syabas dan terima kasih,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, 20 pusat pengundian awal ditutup pada jam 12 tengah hari dan 2 petang manakala 18 pusat lagi ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang tadi.
Setakat jam 3 petang tadi, sebanyak 88.97 peratus atau 14,651 pengundi awal menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Jumlah itu merangkumi 9,827 anggota tentera dan pasangan serta 4,824 anggota polis serta pasangan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, pada sidang media berkata SPR menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada 16,467 pengundi awal keluar mengundi hari ini.
Seramai 103 calon bertanding dalam PRN Negeri Sembilan kali ini dengan pengundian bagi 867,151 pemilih biasa dijadualkan pada 1 Ogos ini.