Angkatan Muda PH gesa SPR, polis siasat rakaman pengundi ditawar duit untuk undi
Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan amalan politik wang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ia susulan tular rakaman memaparkan pengundi diberi wang oleh sebuah parti politik, khususnya di kerusi-kerusi yang dikatakan berada dalam keadaan sengit.
Pengarah Komunikasi AMH, Ammar Atan berkata, sekiranya dakwaan ini benar, ia merupakan satu tindakan yang tidak beretika, tidak berprinsip dan mencemarkan integriti proses demokrasi negara.
“Amalan membeli undi bukan sahaja menghina kebijaksanaan rakyat, malah mengembalikan budaya politik lapuk yang sekian lama ditolak oleh rakyat Malaysia.
“Demokrasi mesti dimenangi melalui idea, rekod perkhidmatan dan keyakinan rakyat, bukannya dengan wang.
“Sehubungan itu, AMH menggesa SPR dan PDRM menjalankan siasatan segera, telus dan bebas terhadap dakwaan ini. Sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya perlu diambil tindakan tanpa mengira pihak yang terlibat,” tegasnya dalam satu kenyataan malam ini.
Ammar berkata, PH akan terus mempertahankan prinsip pilihan raya yang bersih, adil dan bebas daripada politik wang demi memastikan mandat rakyat benar-benar dihormati serta demokrasi negara terus dipelihara.