‘Cium mulut’ tapi dua manifesto, Muhyiddin soal BN-PN nak guna yang mana?

Pengundi Negeri Sembilan diminta berhati-hati dengan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), yang didakwa tidak benar-benar sepakat apabila kedua-dua gabungan itu tampil dengan manifesto berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kedua-dua parti melancarkan manifesto masing-masing menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pentadbiran sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan wujud percanggahan dalam gabungan berkenaan kerana setiap pihak menawarkan janji dan dasar yang berbeza kepada rakyat.

“Barisan Nasional keluar manifesto, kemudian selang beberapa hari, Perikatan Nasional pun keluar manifesto sendiri.

“Dalam satu gabungan, ada dua manifesto. Mana satu yang mereka nak pakai? Kita tak tahu. Jadi dua-dua tak boleh pakai.

“Sebabnya yang satu pihak kata dia nak buat ini, satu lagi pihak kata nak buat itu, walaupun mereka dalam satu gabungan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Rapat Rakyat di PDM Bersatu Bandar Sunggala, malam tadi.

Muhyiddin turut menyifatkan kerjasama BN dan PN ketika pilihan raya hanya bersifat sementara.

“Mereka gabung sementara saja, ‘cium mulut’ sementara saja.

“Tapi bila nak melaksanakan hal seperti manifesto ini, bukan satu, tapi mereka buat dua sekali.

“Jadi kalau dua itu, sah-sahlah mereka tak boleh nak percaya antara satu sama lain.

“Jadi rakyat di Negeri Sembilan jangan ditipu oleh mereka ini,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin meminta pengundi tidak meragui kemampuan Bersatu mentadbir Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat pada Sabtu ini.

Beliau berkata, Bersatu mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk dirinya yang pernah menjadi Menteri Besar Johor, selain Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pernah menerajui Selangor dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Katanya, pengalaman itu disokong oleh barisan bekas menteri dan timbalan menteri dalam parti yang mempunyai kepakaran mentadbir.

“Jangan ragu-ragu tentang kemampuan dan kebolehan Bersatu. Kita boleh menguruskan bila-bila masa sahaja Negeri Sembilan ini.

“Dengan pengalaman yang ada, kesediaan dan komitmen kita, tokoh-tokoh yang kita letakkan sebagai calon, semuanya ada kelayakan dan boleh mengurus tadbir negeri ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

BACA JUGA “Kalau sayang Negeri Sembilan, jangan balik bercuti… baliklah mengundi”- Tok Min