‘Itulah Pas-PN, tak meratib DAP, ajak anak muda konvoi’

Hebahan Pemuda Pas mengenai “Konvoi Mega” pada malam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Jumaat ini hanya dibanjiri sindiran dan kecaman pengguna media sosial.

Orang ramai mempersoalkan sama ada program yang berlaku ketika dunia berdepan dengan krisis tenaga pada masa ini merupakan satu-satunya tawaran Pas dan Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat.

Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook rasminya, Pemuda Pas hanya menulis, “Konvoi Mega Jumaat ni di Negeri Sembilan. On?”

Bagaimanapun, ajakan tersebut dalam tempoh 19 jam lalu hanya mengundang lebih banyak kecaman netizen selain menuntut Pas membentangkan gagasan lebih serius untuk rakyat.

Warganet mendesak Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang berkawan dengan Barisan Nasional (BN) buat masa ini, menyatakan tawaran gabungan itu berkaitan ekonomi, peluang pekerjaan dan hala tuju pembangunan Negeri Sembilan.

Rata-rata mereka berpendapat rakyat memerlukan penyelesaian terhadap masalah kehidupan harian, bukannya sekadar aktiviti konvoi atau kempen yang terus mengulang sentimen membenci DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Walhal, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui PH sejak 2018 mengetengahkan rekod pelaburan, pertumbuhan ekonomi, bantuan pendidikan, kebajikan rakyat serta usaha membasmi kemiskinan tegar.

Seorang pengguna, Haiqal Harris, menyindir corak kempen pembangkang yang didakwanya hanya dipenuhi aktiviti politik tidak berfaedah tanpa penjelasan mengenai manfaat sebenar kepada pengundi.

“Siang konvoi, petang main bola, malam meratib DAP. Apa yang mereka dapat sebagai pengundi?

“Sekadar mengusir DAP dan PH tapi tak tunjuk apa hala tuju. Jangan jadi pemimpin macam itu,” katanya yang turut meraih banyak tanda ‘suka’.

Tawaran terbaik

Pandangan hampir sama disuarakan Shahrun Naim yang mempersoalkan sama ada konvoi dan serangan berulang terhadap DAP merupakan tawaran terbaik yang mampu dikemukakan Pas kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Takkan itu saja Pas mampu tawarkan? Tak habis-habis ratib DAP, ajak konvoi,” tempelaknya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Remy Halamy, menyifatkan pendekatan tersebut tidak mencerminkan kematangan sebuah parti yang mahu diberi tanggungjawab mentadbir negeri.

Beliau sebaliknya mencabar Pas membentangkan model ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan membawa pembangunan berkualiti ke Negeri Sembilan.

“Suruh bentangkan model ekonomi apa yang boleh dibawa untuk rakyat Negeri Sembilan, satu pun tak ada,” katanya.

Wan Hasrulnaim pula meminta pimpinan parti berkenaan memberi tumpuan kepada idea dan dasar yang boleh memajukan negeri serta negara, bukan hanya menganjurkan konvoi sepanjang tempoh kempen.

“Konvoi saja kerja. Cuba fikir dan kongsi idea macam mana cara untuk majukan negara dan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Raimyzam Ahmad Zaidi turut meninggalkan komen sinis dengan mengaitkan program tersebut dengan kritikan pembangkang terhadap inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 atau BUDI95.

“Lepas itu mengamuk BUDI95 habis,” perlinya pula.

BACA JUGA Lahir selepas 1MDB? Ini sebab pengundi muda wajib kenal rekod Umno-BN