Pengundi perlu nilai prestasi kerajaan, bukan sentimen politik -Azli Yusof

FOTO BERITA: Ahli Parlimen Shah Alam, , menyifatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Negeri Sembilan kali ini jauh berbeza berbanding pilihan raya di Johor sebelum ini, dengan persaingan yang disifatkan seimbang dan dinamik menjelang hari pengundian yang berbaki tiga hari. Beliau berkata, perbezaan utama ialah Negeri Sembilan diterajui oleh Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Menteri Besar, , manakala pilihan raya di Johor sebelum ini melibatkan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional.

“Suasana politik di Negeri Sembilan sangat berbeza. Pertembungan kali ini lebih dinamik kerana melibatkan gabungan besar yang saling berdepan. Berdasarkan pemerhatian di lapangan, saya melihat persaingan agak seimbang, dengan setiap pihak mempunyai kelebihan di kawasan tertentu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Kampung Batu Serambai, Kuala Klawang, pada Rabu. Menurut Azli, sambutan pengundi terhadap ceramah umum dan ceramah kelompok juga tidak lagi seperti dahulu apabila kehadiran dilihat kurang memberangsangkan, sekali gus menyukarkan penilaian terhadap tahap sokongan sebenar.

Katanya, pendekatan paling berkesan ketika ini ialah turun dari rumah ke rumah bagi bertemu pengundi secara langsung. “Saya dapati ramai pengundi masih keliru mengapa pilihan raya ini diadakan lebih awal, sedangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri masih belum mencecah tiga tahun. Mereka mempersoalkan mengapa berlaku pembubaran dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil peluang menerangkan kepada pengundi bahawa kestabilan politik merupakan faktor penting dalam memastikan kerajaan dapat terus mentadbir dan memberi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat. Azli turut menggesa pengundi menilai prestasi kerajaan negeri sepanjang lapan tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

Menurut beliau, pelbagai petunjuk ekonomi menunjukkan pencapaian positif, termasuk peningkatan hasil kerajaan negeri daripada sekitar RM400 juta kepada lebih RM700 juta, peningkatan rizab negeri daripada RM784 juta kepada RM1.3 bilion, serta pertumbuhan pelaburan daripada sekitar RM1 bilion kepada RM17 bilion.
“Semua pencapaian ini akhirnya memberi manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan ekonomi negeri serta pelbagai bentuk bantuan dan insentif yang disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya kempen pilihan raya tidak dipengaruhi sentimen agama dan perkauman semata-mata. Katanya, semua gabungan politik mempunyai wakil daripada pelbagai kaum dan agama, justeru isu tersebut tidak seharusnya dijadikan alat untuk meraih sokongan atau menakut-nakutkan pengundi.

Beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan serta institusi berkaitan telah menjamin kedudukan agama Islam dan hak orang Melayu, selain mengingatkan agar institusi adat tidak dipolitikkan. “Saya menyeru seluruh rakyat dan pengundi Negeri Sembilan supaya menilai rekod pencapaian kerajaan negeri serta terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan dan kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun demi memastikan kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik negeri,” katanya.