Anwar seru pengundi Chennah pilih pemimpin berintegriti, tolak politik ugutan

FOTO BERITA: Program Minum Petang bersama YAB Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Harapan N.01 Chennah YB Anthony Loke di Parkir Mr.D.A.Y Simpang Durian, Chennah Negeri Sembilan. 29hb Julai 2026 (Rabu)

Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, , menyeru pengundi di DUN Chennah supaya memilih pemimpin yang berintegriti, amanah dan mampu berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, sambil menolak politik ugutan serta fitnah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK). Berucap pada Program Minum Petang bersama rakyat di Parkir Mr. D.A.Y, Simpang Durian, Anwar berkata beliau hadir bagi memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan, , yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berwibawa dan sentiasa memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya datang bukan kerana beliau Menteri Pengangkutan, tetapi kerana beliau tokoh kita. Senang bersama, susah bersama. Dalam Jemaah Menteri beliau sentiasa mempertahankan kepentingan semua rakyat, sama ada masyarakat Orang Asli, Melayu, Cina mahupun India,” katanya. Anwar turut menolak dakwaan bahawa peruntukan kepada kampung Orang Asli akan dihentikan sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya.

Beliau menegaskan segala peruntukan kerajaan disalurkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya berdasarkan kecenderungan politik.
“Peruntukan itu datang daripada kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Ia tidak akan ditarik balik hanya kerana pilihan politik rakyat. Jangan percaya ugutan seperti itu,” katanya. Perdana Menteri berkata kerajaan MADANI sentiasa berusaha meningkatkan kebajikan rakyat, termasuk membantu veteran yang tidak menerima pencen serta melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam selepas lebih sedekad tidak disemak.

Menurut beliau, kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan merupakan antara yang tertinggi dalam sejarah negara dan membuktikan komitmen kerajaan terhadap kebajikan kakitangan awam. Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan bahawa kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak orang Melayu dan Bumiputera telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu dijadikan bahan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Negara ini majoritinya orang Melayu, Raja-Raja Melayu tetap dipelihara, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan Islam ialah agama Persekutuan. Semua itu tidak dipertikaikan. Tetapi pada masa yang sama kita mesti menjaga hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan, termasuk melibatkan institusi kewangan negara.
Katanya, mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan akan disiasat oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), , dan agensi berkaitan sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Kalau ada bukti, siasat dan dakwa mengikut undang-undang. Biar mahkamah menentukan. Negara ini mesti ditadbir dengan amanah dan berintegriti,” katanya. Mengakhiri ucapan, Anwar mengajak pengundi Chennah memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan demi memastikan kesinambungan kestabilan politik, pembangunan serta pentadbiran yang telus dan berintegriti di Negeri Sembilan.