Hadi arah penyokong Pas mesti undi, kerja untuk calon BN

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan terbuka kepada seluruh penyokong dan jentera parti itu supaya mengundi serta membantu calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang ditandingi gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Arahan tegas itu dibuat bagi memastikan kerjasama politik antara Pas dan BN bukan sekadar dipamerkan di pentas ceramah, sebaliknya benar-benar diterjemahkan di peti undi.

Abdul Hadi berkata, jentera Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas, wajib bekerja untuk membantu kemenangan calon BN di kawasan yang ditandingi parti berkenaan.

“Kita harap kerjasama ini betul-betul berlaku, maka saya ulangi seruan supaya orang (jentera) Perikatan Nasional (PN) bekerja juga untuk Barisan Nasional, undi Barisan Nasional.

“Barisan Nasional bekerja juga di kawasan Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bertanding supaya mendapat kemenangan. Ini mesti, ini arahan saya.

“Daripada Pas, saya arah orang Pas, kawasan Barisan Nasional, undi Barisan Nasional dan kerja untuk mereka, Wawasan pun sama,” katanya.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega ‘Gelombang Biru-kan Seremban’, di Seremban malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pembangkang yang juga Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini, BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BACA JUGA ‘Penyatuan umat’ membisu selepas RCI bongkar penyelewengan Tabung Haji