RCI sebut tiga ahli Umno dalam laporannya, anggap tidak wajar ahli politik dalam lembaga TH

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji membuka satu lagi fakta penting iaitu beberapa ahli politik Umno telah berada dalam struktur tertinggi pengurusan TH selama bertahun-tahun, termasuk dalam tempoh ketika institusi itu berdepan masalah krisis kewangan.

Suruhanjaya mendapati, dalam tempoh siasatan, beberapa anggota Lembaga Pengarah institusi itu terdiri daripada ahli politik yang aktif dalam politik ketika berkhidmat.

Antara yang disenaraikan ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang menjadi ahli Lembaga Pengarah sejak 2011 sebelum dilantik sebagai Pengerusi TH dari 2013 hingga 2018. 

Ketika itu, beliau merupakan Ahli Parlimen Baling dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Turut disebut ialah Tan Sri Badruddin Amiruldin, anggota Lembaga Pengarah dari 2005 hingga 2018 yang juga pernah menjadi Ahli Parlimen Yan dan Jerai serta Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung Umno.

Seorang lagi ialah Datuk Rosni Sohar yang dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah dari 2014 hingga 2018 ketika beliau merupakan ADUN Hulu Bernam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Setiausaha Wanita Umno Malaysia.

Suruhanjaya mendapati penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH telah menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat, selain menyebabkan keputusan Lembaga dijadikan bahan pertikaian sehingga menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan.

Atas alasan itu, RCI berpandangan bahawa Pengerusi dan anggota Lembaga TH tidak wajar dilantik dalam kalangan ahli politik yang masih aktif.

“Suruhanjaya mendapati, penglibatan ahli politik dalam pengurusan LTH telah menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di negara ini. 

“Pertembungan ideologi politik yang rancak akhir-akhir ini menyebabkan ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan keputusan-keputusan lembaga sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti LTH .

“Sehubungan itu, Suruhanjaya berpandangan, Pengerusi dan anggota Lembaga tidak wajar dilantik dari kalangan ahli politik yang masih aktif. 

“Sekiranya seseorang yang dilantik sebagai Pengerusi dan anggota Lembaga didapati terlibat secara aktif dalam politik, beliau hendaklah meletakkan jawatan atau digugurkan jawatannya sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga,” menurut laporan Suruhanjaya terbabit.

Suruhanjaya turut mencadangkan satu peruntukan khusus yang melarang ahli politik yang aktif daripada dilantik dan memegang jawatan sebagai Pengerusi atau anggota lembaga dan anak-anak syarikat LTH hendaklah dikanunkan dalam Akta 535.

BACA JUGA Laporan RCI TH: Ghairah bayar hibah tinggi sejak 2014-2017 punca krisis kewangan TH

BACA JUGA Laporan RCI dedah CEO, Pengerusi Lembaga TH ditamatkan kontrak tanpa sebab