RCI Tabung Haji masuk Parlimen 11 Ogos, apa yang bakal terjadi?

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, sidang khas itu akan bermula pada pukul 10 pagi dan berlangsung sehingga selesai selepas mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“11 Ogos, sesi khas Parlimen. Saya dah bincang, Speaker pun dah setuju, (bermula) 10 pagi hingga petang,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ibu Pejabat Baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang khas itu diadakan susulan keputusan kerajaan menyahklasifikasikan laporan RCI yang menyiasat pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan setebal 211 halaman yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengandungi pelbagai dapatan berkaitan kedudukan kewangan, tadbir urus serta operasi TH, selain mengemukakan 25 syor penambahbaikan.

Menurut kerajaan, kira-kira 75 peratus daripada syor berkenaan telah dilaksanakan, sekali gus meletakkan TH di landasan lebih kukuh dari segi pengurusan deposit dan operasi haji.

Antara penemuan utama RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang diumumkan dalam penyata kewangan ketika itu.

Suruhanjaya turut mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang disifatkan terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan fungsi antara lembaga pengarah dan pengurusan kanan serta risiko campur tangan politik dalam urusan institusi berkenaan.

Perbahasan di Dewan Rakyat dijangka memberi ruang kepada Ahli Parlimen meneliti dapatan RCI, mengupas syor pembaharuan yang dikemukakan serta membincangkan langkah bagi memperkukuh tadbir urus Tabung Haji pada masa depan.

BACA JUGA ‘Perdana Menteri juga manusia biasa’, Anwar akui tersalah istilah, ulangi mohon maaf kepada masyarakat India