‘Sehari seorang penagih’ bukan suka-suka, KDN dedah sebab Kelantan jadi sasaran
Arahan supaya setiap ketua balai di Kelantan menahan sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan tahap serius penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, strategi diperkenalkan Polis Kelantan itu adalah respons terhadap statistik yang menunjukkan negeri berkenaan berdepan antara masalah dadah paling kritikal di negara ini.
“Di Kelantan hampir tiada kampung yang terlepas daripada masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang adalah antara jajahan yang mencatatkan angka penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang serius,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Bukit Tangga, hari ini.
Saifuddin turut mendedahkan keadaan di penjara di Kelantan yang menurutnya menggambarkan skala sebenar masalah penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Katanya, Penjara Pengkalan Chepa yang merupakan antara penjara paling sesak di Malaysia mencatatkan kira-kira 75 daripada setiap 100 penghuni terdiri daripada individu yang terbabit dengan kes dadah.
“Manakala di Penjara Machang yang menempatkan banduan sabitan, 95 daripada setiap 100 penghuni berada di situ kerana kes berkaitan dadah,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan pesalah terbabit disabitkan atas kesalahan memiliki dadah atau memasukkan bahan terlarang ke dalam badan.
Sehubungan itu, beliau memahami tindakan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, yang mengarahkan semua ketua balai melaksanakan operasi lebih agresif bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Sebab itu apabila Ketua Polis Kelantan menggesa semua ketua balai di bawahnya membuat gerakan menyeluruh, ia sesuai dengan tahap masalah yang dihadapi Kelantan ketika ini,” katanya.
Mengulas kemungkinan pendekatan sama diperluaskan ke negeri lain, Saifuddin berkata perkara itu akan diputuskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Menurutnya, JSJN mempunyai data pemetaan, profil dan maklumat lengkap berkaitan taburan kes dadah sebelum menentukan sama ada strategi berkenaan sesuai dilaksanakan di negeri lain.
Sebelum ini, Polis Kelantan mengumumkan pelan strategi baharu bermula 15 Julai, yang menetapkan setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
Ketua Polis Kelantan turut memaklumkan mana-mana pegawai atau anggota yang gagal mencapai KPI berkenaan akan dikenakan tindakan.
BACA JUGA “Demi kuasa tak kekal lama” – Rani Kulup ramal kerjasama Umno-Pas sukar bertahan