Tok Min kesal kisah Tok Mat diusir dikitar semula, anggap hanya raih simpati

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Mohamad Hasan diusir dari kediaman rasmi kerajaan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai tidak masuk akal dan sekadar cerita lama yang diulang bagi meraih simpati.

Aminuddin yang mesra disapa Tok Min berkata, beliau berasa kasihan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kerana dakwaan berkenaan masih dimainkan meskipun peristiwa tersebut sudah berlalu lebih tujuh tahun.

“Saya sebenarnya kasihan dengan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan).

“Walaupun sudah tujuh tahun berlalu, masih diulang-ulang lagi cerita kononnya beliau diusir keluar dari kediaman rasmi kerajaan.

“Tidak pernah dalam sejarah seorang ketua negeri dihalau dari kediaman.

“Perkara itu langsung tidak masuk akal kerana ketika itu beliau masih Menteri Besar dan terus menjalankan tanggungjawab sehingga Menteri Besar baharu dilantik,” katanya kepada media.

Tok Min yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Linggi berkata, kekalahan BN pada malam keputusan PRU14 tidak bermakna Tok Mat serta-merta kehilangan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

“Walaupun malam itu beliau kalah, beliau masih lagi Menteri Besar sehingga Menteri Besar baharu dilantik. Bukannya apabila kalah, terus tidak menjadi Menteri Besar,” katanya.

Milik kerajaan negeri

Aminuddin turut menegaskan bahawa kediaman rasmi Menteri Besar merupakan milik kerajaan negeri dan urusan pentadbirannya ketika itu terletak di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri pada waktu tersebut juga bukan dilantik oleh kerajaan PH yang masih belum dibentuk ketika dakwaan pengusiran itu dikatakan berlaku.

“Kuasa terhadap kediaman rasmi itu berada di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri. Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu bukannya daripada kerajaan Pakatan Harapan.

“Beliau pun tidak mengenali saya. Beliau hanya tahu saya sebagai pembangkang ketika itu. Jadi, bagaimana pula saya boleh menghalau beliau?” soalnya.

Beliau turut mencabar pihak yang terus memainkan dakwaan berkenaan supaya mengemukakan bukti bahawa beliau pernah mengarahkan Mohamad keluar dari kediaman rasmi tersebut.

“Apa bukti saya halau? Nombor telefon Tok Mat pun saya tidak ada pada masa itu.

“Kalau ada sekalipun, takkanlah saya telefon beliau dan suruh keluar,” katanya.

Sehubungan itu, Tok Min menyifatkan tindakan mengitar semula dakwaan lama tanpa bukti itu sebagai sesuatu yang mendukacitakan dan tidak sepatutnya dijadikan modal politik.

“Saya rasa perkara ini mendukacitakan. Kisah lama diulang tayang untuk mendapatkan simpati. Ini satu perkara yang tidak sewajarnya,” katanya.

Untuk rekod, Tok Min pada PRN kali ini berdepan saingan tiga penjuru di DUN Linggi iaitu penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said, yang bertanding buat kali kedua di kerusi berkenaan.

Seramai 867,151 pemilih biasa akan keluar mengundi pada 1 Ogos ini.

Kelmarin, sebanyak 91.06 peratus iaitu 14,995 daripada 16,467 pengundi awal yang layak telah menunaikan tanggungjawab, melibatkan anggota tentera dan polis berserta pasangan.

BACA JUGA ‘Perdana Menteri juga manusia biasa’, Anwar akui tersalah istilah, ulangi mohon maaf kepada masyarakat India