Ekonomi berkembang, pelaburan pecah rekod, Faiz seru pengundi kekal PH di N9
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menyeru pengundi Negeri Sembilan mengekalkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini bagi memastikan prestasi ekonomi dan kewangan negeri terus dipertahankan.
Beliau berkata, setiap undi kepada Umno-Pas diibaratkan sebagai menekan “gear undur” kerana rekod pencapaian Pas di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah serta prestasi Umno di Negeri Sembilan sebelum 2018 kurang memberangsangkan.
Katanya, selepas PH mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, saiz ekonomi Negeri Sembilan telah berkembang daripada RM45.7 bilion kepada RM55.8 bilion pada tahun 2025, iaitu KDNK terbesar negeri dalam sejarah.
Pada tahun 2025 juga, Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah iaitu RM19.1 bilion, jauh menjangkaui sasaran awal RM10 billion.
Lebih membanggakan kata Faiz, Negeri Sembilan sekali lagi mencipta sejarah apabila rizab tunai negeri buat pertama kalinya melepasi paras RM1 bilion, mencecah RM1.035 bilion
“Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan adalah sangat mustahak di Negeri Sembilan, termasuk untuk memacu projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
“KDNK Negeri Sembilan dijangka melonjak hampir dua kali ganda menjelang 2040. Namun, ini bergantung kepada hala tuju pentadbiran negeri yang benar-benar memahami keperluan pelabur, perniagaan dan sosioekonomi rakyat.
“Halatuju ini hanya mampu dilakukan Pakatan Harapan berdasarkan prestasi cemerlang pentadbiran selama 2 penggal ini,” kata beliau dalam kenyataan.
Justeru Faiz berkata, penukaran kerajaan negeri berisiko menggugat prospek kemajuan ekonomi negeri, terutamanya jika kelompok yang mengutamakan poket sendiri berbanding tadbir urus baik memerintah Negeri Sembilan.
Untuk rekod, dalam tempoh 5 tahun yang lepas, iaitu 2021-2025, Negeri Sembilan telah mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM51.1 bilion yang seterusnya dijangka menjana lebih 19,000 pekerjaan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi.
Bagi kategori pelaburan asing pula, sebanyak RM22.9 bilion telah dibawa masuk oleh Kerajaan Negeri, bersama kerjasama Kerajaan Persekutuan, antara 2021 hingga 2025.
“Berbekalkan pemacuan ekonomi tempatan dan pelaburan berlipat ganda, kutipan hasil Negeri Sembilan telah melonjak daripada RM413 juta pada 2017 kepada RM785 juta pada 2025.
“Angka RM785 juta ini jauh melepasi jangkaan asal sebanyak RM590 juta. Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga telah mencatatkan lebihan pendapatan iaitu “surplus” untuk 4 tahun berturut-turut,” katanya lagi.