Kerajaan akan terus pertahan institusi beraja, tidak campur urusan Undang Luak

Buat kesekian kalinya, Kerajaan Persekutuan berikrar tidak akan mencampuri urusan adat dan institusi beraja di Negeri Sembilan, termasuk sebarang keputusan membabitkan Undang Luak di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya akan sentiasa mempertahankan institusi raja dan menjadi tanggungjawabnya memastikan institusi tersebut terus dihormati.

Beliau berkata, sistem beraja tidak boleh diperlakukan seperti sistem politik kepartian kerana institusi itu adalah tonggak kepada sistem pemerintahan negara.

“Kerana sistem beraja itu sangat penting. Kalau esok sistem raja ini kita buat macam parti politik, boleh bertanding, boleh lawan, itu dia bukan sistem raja.

“Ini saya nak terangkan kerana negara kita mesti mendaulatkan sistem raja untuk yang dikatakan payung negeri dan Agong sebagai payung negara,” katanya pada Program Munajat Perdana bersama penduduk Linggi malam tadi.

Anwar juga mengingatkan semua pihak, biarpun saling berbeza pendapat, namun institusi diraja perlu dihormati. 

“Kadang-kadang (kita) ada berbeza pendapat. Saya menghadap Yang di-Pertuan Agong, apa saya cerita? ‘Ampun Tuanku. Patik harap kalau boleh dipertimbangkan semula.’

“Itu cara dia. Ini pula hendak makzulkan atau hendak turunkan takhta seorang raja. Tidak seperti itu,” katanya.