NGO Melayu N9 bersuara kekalkan Tok Min, tolak politik kebencian
Kurang 48 jam sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tampil menyatakan sokongan terbuka supaya kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun dikekalkan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang disifatkan stabil dan berintegriti.
Gabungan NGO Melayu Malaysia Negeri Sembilan berkata, pendirian itu dibuat selepas menilai rekod prestasi kerajaan negeri, yang menurutnya berjaya mengekalkan kestabilan politik, merancakkan pembangunan ekonomi serta menjaga kepentingan Islam dan orang Melayu tanpa mengabaikan kebajikan seluruh rakyat.
Pengerusinya, Che Ros Husin berkata, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan pencapaian dan tadbir urus sesebuah kerajaan, bukannya dipengaruhi sentimen politik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil, bersih, amanah dan berintegriti demi memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan orang Melayu khususnya dan rakyat Negeri Sembilan amnya.
“Kami berpandangan bahawa sebarang sokongan kepada sesebuah kerajaan hendaklah dibuat berdasarkan prestasi, integriti, tadbir urus yang baik serta kemampuan membawa manfaat kepada orang Melayu dan rakyat,” katanya pada sidang media di Hotel Palm, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Melayu supaya memberikan mandat baharu kepada kerajaan negeri sedia ada pada hari pengundian Sabtu ini.
Menurutnya, kepimpinan Aminuddin telah membuktikan keupayaan dalam memelihara syiar Islam, mengukuhkan ekonomi negeri, mengekalkan keamanan dan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat.
“Kami menyeru masyarakat Melayu menunaikan tanggungjawab mengundi dengan penuh rasa syukur dan insaf untuk mengekalkan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Pentadbiran beliau terbukti memberikan kebaikan yang banyak demi masa depan Islam, orang Melayu khususnya dan rakyat Negeri Sembilan keseluruhannya,” katanya.
Che Ros berkata, gabungan itu turut menyokong pendirian yang sebelum ini dizahirkan oleh Pertubuhan Profesor Melayu G70 yang menggesa masyarakat Melayu memilih pentadbiran yang mempunyai rekod mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negeri.
Pada masa sama, beliau menggesa rakyat menolak politik yang disifatkannya berasaskan kebencian, budaya takfiri, penyebaran fitnah, berita palsu, perkauman melampau dan fahaman ekstrem yang boleh menggugat perpaduan masyarakat.
Menurutnya, Negeri Sembilan sejak sekian lama dibangunkan atas semangat hidup bersama dalam masyarakat majmuk dan perbezaan politik perlu diurus secara matang melalui fakta, ilmu, hujah serta semangat syura.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir penyokong parti politik yang didakwa tidak menghormati institusi diraja, termasuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Institusi Istana merupakan payung negeri yang wajib dipelihara, dihormati dan dimuliakan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
BACA JUGA ‘Kamu isytihar bonus 13 bulan untuk orang kamu ketika TH rugi…mana orang tak marah’