“Saya takut dan risau dengar hujah ini” – Syed Saddiq tempelak naratif hibah TH tinggi bukan masalah

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak sekeras-kerasnya naratif dan pemikiran yang cuba dibentuk pihak tertentu kononnya pemberian hibah dan subsidi haji yang tinggi adalah satu kejayaan, tanpa mengambil kira bebanan kewangan sebenar yang dihadapi institusi kewangan haji umat Islam pada waktu itu.

Beliau menyatakan kebimbangan apabila dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menunjukkan TH sebenarnya mengalami kerugian lebih RM3.4 bilion bagi tempoh tertentu, yang langsung tidak diisytiharkan.

“Di media sosial ada yang kata alah Saddiq, masalah TH ini bukan besar pun. Kerajaan beri hibah tinggi kepada pendeposit dan beri subsidi kepada mereka yang mengerjakan haji.

“Saya sngat takut dengan hujah ini dan sangat risau. Saya menolak hujah ini sekeras yang mungkin. Kenapa? Kerana kalau TH rugi lebih RM3.4 bilion menurut RCI. 

“Tetapi apa yang diisytiharkan hanyalah untung RM1.4 bilion. Apabila kita beri hibah dan subsidi tinggi, ia tidak bermaksud masalah itu hilang. Duit tak jatuh dari pokok eh,” kata beliau dalam podcast malam tadi.

Syed Saddiq berkata, berdasarkan dapatan RCI, kerugian yang tidak diiktiraf itu bukanlah lenyap begitu sahaja, sebaliknya beban kewangan berkenaan dipindahkan kepada tahun-tahun berikutnya dan akhirnya memerlukan campur tangan kerajaan.

Menurut beliau, laporan itu turut menunjukkan bagaimana kerajaan terpaksa menyediakan sokongan kewangan yang besar bagi memulihkan kedudukan TH, termasuk penyediaan dana tambahan, pembiayaan menerusi sukuk, suntikan tunai serta penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih aset-aset bermasalah.

“Beban itu akhirnya ditanggung oleh siapa? Pembayar cukai, kamu semua. Apabila kita membuat keputusan populis dalam jangka pendek yang tidak mengikut piawaian dan tadbir urus yang sepatutnya, akhirnya kerajaan perlu campur tangan melalui bantuan kewangan dan jaminan kerajaan. Yang menanggung kosnya ialah rakyat,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat daripada sudut politik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai secara adil berdasarkan dapatan RCI.

“Saya mahu berlaku adil. Tetapi jika kita membaca laporan ini, antara teguran utamanya ialah keputusan tertentu dibuat atas pertimbangan politik, termasuk dalam soal pelantikan kepimpinan TH,” katanya.

Menurut beliau, RCI turut membangkitkan bahawa proses pelantikan Pengerusi dan anggota Lembaga TH ketika itu dipengaruhi pertimbangan politik sehingga membuka ruang kepada pelantikan individu yang tidak mempunyai kepakaran mencukupi dalam bidang kewangan.

Katanya, bukan sahaja jawatan dalam pengurusan tertinggi dipengaruhi pertimbangan sedemikian, malah individu sama turut menganggotai lembaga pengarah beberapa anak syarikat TH, yang menurut beliau berkemungkinan tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran sewajarnya.