Tok Min persoal Tok Mat: Dulu runding boleh lulus, kenapa jadi Menteri Pertahanan terus tolak?
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang didakwa menolak permohonan kerajaan negeri berhubung urusan bayaran premium tanah ketika kementerian itu diterajui Mohamad Hasan.
Menurut Aminuddin, permohonan itu ditolak atas alasan kekangan kewangan, walaupun isu berkenaan membabitkan kepentingan kerajaan negeri dan pernah melalui beberapa siri perbincangan sebelum ini.
“Permohonan daripada kerajaan negeri ditolak dengan alasan tiada peruntukan kewangan.
“Sepatutnya perkara itu diuruskan kerana ketika mereka mentadbir, merekalah yang menilai kadar premium berkenaan,” katanya.
Isu itu dipercayai merujuk kepada premium tanah Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, yang sebelum ini dilaporkan tertunggak lebih 10 tahun.
Semakan terhadap laporan terdahulu mendapati kerajaan Negeri Sembilan pada Disember 2023 pernah menyatakan tuntutan bayaran premium tanah membabitkan tiga lot di Kem Syed Sirajuddin berjumlah RM1.272 bilion. Pada peringkat awal, anggaran premium bagi Parcel H, Parcel J dan Parcel L ialah RM2.162 bilion, sebelum kawasan Military Firing Ground J dikeluarkan selepas Kementerian Pertahanan membuktikan warta tahun 1941.
Aminuddin ketika itu turut menyatakan isu premium tanah Kem Gemas bermula sejak 2013 dan pelbagai usaha rundingan telah dibuat melibatkan pegawai tertinggi kerajaan sehingga ke peringkat menteri, termasuk melalui Majlis Kewangan Negara.
Kerajaan negeri juga pernah menawarkan kaedah bayaran secara ansuran 10 kali, iaitu RM100 juta setahun, namun ketika itu masih belum menerima keputusan daripada kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata perbincangan sebelum ini bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan sudah mencapai persetujuan termasuk pemberian rebat 50 peratus.
“Malah, ketika itu telah ada perbincangan dengan kerajaan Persekutuan sehingga dipersetujui pemberian rebat 50 peratus.
“Apabila beliau menjadi Menteri Pertahanan, kami menjangkakan perkara itu dapat dibantu, namun sebaliknya permohonan itu ditolak melalui surat rasmi dengan alasan tiada kewangan,” katanya.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden Umno, pernah menerajui Kementerian Pertahanan sebelum menyerahkan tugas kepada Mohamed Khaled Nordin sebagai menteri pertahanan baharu pada 13 Disember 2023.
Aminuddin membangkitkan persoalan mengapa perkara yang pernah dibincangkan dan diluluskan pada peringkat awal akhirnya ditolak.
“Persoalannya, mengapa ketika perbincangan bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan sebelum ini, kelulusan boleh diberikan, tetapi akhirnya permohonan tersebut ditolak?
“Isunya bukan beliau tidak menguruskan perkara itu, tetapi beliau sendiri yang menolak permohonan kerajaan negeri,” katanya lagi.
Pada Januari lalu, kerajaan Negeri Sembilan dilaporkan menerima bayaran pertama premium tanah Kem Syed Sirajuddin berjumlah RM72.49 juta daripada kerajaan Persekutuan pada 31 Disember. Baki sembilan bayaran lagi dijadualkan dijelaskan secara berperingkat, dengan keseluruhan pembayaran berjumlah RM1.26 bilion bagi tanah seluas 3,800 hektar.
Aminuddin ketika itu menyifatkan pembayaran pertama tersebut sebagai penyelesaian terhadap isu yang tertangguh lebih 10 tahun, selain berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan pembayaran berkenaan.
RTM turut melaporkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju membayar keseluruhan premium tanah RM1.26 bilion bagi kawasan seluas 3,800 hektar di Mukim Ayer Kuning, Gemas, yang digunakan Kementerian Pertahanan untuk tujuan latihan.
Isu itu kini kembali menjadi bahan kempen apabila Aminuddin membandingkan keputusan terdahulu ketika Mohamad berada dalam Kementerian Pertahanan dengan perkembangan terbaru selepas kerajaan Persekutuan meluluskan bayaran berkenaan.
Setakat berita ini ditulis, belum ada maklum balas segera daripada Mohamad berhubung dakwaan Aminuddin tersebut.
BACA JUGA ‘Kamu isytihar bonus 13 bulan untuk orang kamu ketika TH rugi…mana orang tak marah’