Apa yang dibincangkan PMX dengan cucu Mahatma Gandhi? Ini jawapannya 

Hubungan intelektual antara Malaysia dan India dijangka diperkukuh apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput sejarawan terkenal, Rajmohan Gandhi, untuk berkunjung ke Malaysia pada suku pertama tahun depan.

Rajmohan merupakan cucu kepada tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

Anwar berkata, jemputan itu disampaikan ketika beliau mengadakan perbualan telefon dengan Rajmohan yang disifatkannya sebagai sahabat lama.

Menurutnya, mereka turut mengimbau pertemuan dalam satu persidangan mengenai demokrasi di Asia yang dianjurkan Rajmohan di Mumbai pada 2012.

“Menerusi perbualan itu, kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan sejarah dan ketamadunan Malaysia-India melalui kerjasama akademik, intelektual serta dialog antara tamadun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap Rajmohan dapat menyampaikan syarahan kepada golongan ilmuwan, mahasiswa dan pemimpin masyarakat mengenai demokrasi, keamanan, keharmonian serta kepimpinan yang berteraskan nilai bersama.

Katanya, perkongsian pengalaman dan pemikiran tokoh berkenaan diyakini mampu memperkayakan wacana ilmu serta mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

Anwar turut melahirkan harapan agar persahabatan yang telah lama terjalin antara beliau dan Rajmohan akan terus diperkukuhkan.

“Semoga hubungan persahabatan yang telah lama terjalin ini terus diperkukuh,” katanya.

Rajmohan Gandhi dikenali sebagai sejarawan, penulis dan tokoh akademik yang banyak menulis mengenai sejarah Asia Selatan, demokrasi, keamanan serta hubungan antara agama dan tamadun.

BACA JUGA DKU tamatkan polemik: Tiga individu disahkan bukan Undang yang sah