Baru sejam mengundi, lebih 71,000 rakyat Negeri Sembilan sudah keluar buat pilihan

Lebih 71,000 pengundi di Negeri Sembilan telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam tempoh sejam pertama pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini.

Data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 9 pagi menunjukkan 71,106 daripada 859,760 pengundi berdaftar telah keluar mengundi, bersamaan 8.29 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Peratusan itu bagaimanapun masih sedikit rendah berbanding PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, yang merekodkan 9.49 peratus keluar mengundi pada waktu sama.

Antara kawasan yang mencatatkan kadar keluar mengundi tertinggi setakat ini ialah DUN Labu dengan 10.4 peratus, diikuti Senaling (10.3 peratus) dan Ampangan (9.4 peratus).

Sebaliknya, DUN Rantau merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah iaitu 6.4 peratus, diikuti Jeram Padang (6.8 peratus) dan Sungai Lui (7.2 peratus).

Proses pengundian bermula pada 8 pagi dan akan berlangsung sehingga 6 petang, melibatkan 401 pusat mengundi serta 1,668 saluran di seluruh Negeri Sembilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menyasarkan 72 hingga 75 peratus daripada keseluruhan pemilih keluar mengundi pada PRN kali ini.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya keluar mengundi lebih awal berikutan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat dan ribut petir di kebanyakan kawasan pada sebelah petang.

Setiap undi yang dibuang hari ini akan menentukan komposisi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta kerajaan yang bakal mentadbir Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.

BACA JUGA ‘PH tidak politikkan RCI, kami yang pulihkan Tabung Haji’, Khalid tempelak Umno perlekeh RCI TH