DKU Putuskan: Semua tindakan selepas 31 Mei 2023 diisytihar tidak sah

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengisytiharkan jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas menerima pendirian waris adat untuk memecat penyandangnya, Datuk Maarof Mat Rashad, atas kesalahan adat.

Keputusan itu dibuat dalam persidangan DKU yang berlangsung pada 31 Julai dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut kenyataan rasmi DKU, pemecatan itu berkuat kuasa 31 Mei 2023, sekali gus menjadikan semua tindakan yang dilakukan oleh Dato’ Haji Maarof selepas tarikh tersebut tidak sah di sisi undang-undang.

“Jawatan Undang Luak Jelebu adalah dengan sendirinya kosong dan apa-apa tindakan yang dibuat selepas 31 Mei 2023 hendaklah dianggap tidak sah,” menurut kenyataan itu.

DKU memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mendengar aduan daripada Luak Jelebu serta menerima kesepakatan waris, anak buah dan Ibu Soko daripada tiga perut adat, iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban.

Susulan keputusan itu, darjah kebesaran Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan ketika menyandang jawatan tersebut turut gugur secara automatik.

Pada masa sama, kerajaan negeri diarahkan mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan keputusan yang diputuskan oleh DKU mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Persidangan itu turut dihadiri Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti, sekali gus memenuhi syarat korum yang ditetapkan di bawah Perlembagaan negeri.

BACA JUGADKU tamatkan polemik: Tiga individu disahkan bukan Undang yang sah