Selepas RM230 juta, PMX bayang ‘hadiah’ baharu untuk Amanah Ikhtiar 

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dijangka terus menerima perhatian kerajaan apabila Perdana Menteri memberi bayangan bahawa institusi itu bakal menerima khabar gembira dalam Belanjawan 2027.

Tanpa memperincikan bentuk bantuan yang bakal diumumkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memberi perhatian kepada AIM selagi beliau diberi amanah mentadbir negara.

“Ada berita baik untuk Amanah Ikhtiar dalam Belanjawan 2027, insya-Allah.

“Selagi diberikan amanah, saya akan terus memberikan perhatian kepada Amanah Ikhtiar dalam Belanjawan Negara,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sahabat Usahawan MADANI Negeri Sembilan di Port Dickson, semalam.

Menurut beliau, hubungan dengan AIM telah terjalin sejak 1996 ketika menerajui Kementerian Kewangan dan sepanjang tempoh itu beliau menyaksikan sendiri keberkesanan institusi berkenaan dalam membantu golongan miskin, khususnya wanita, keluar daripada kitaran kemiskinan.

Katanya, kekuatan AIM bukan sahaja terletak pada bantuan modal yang disediakan, malah disiplin pengurusan dan budaya amanah yang diamalkan selama ini.

Anwar berkata, selepas mengambil alih pentadbiran negara pada penghujung 2022, kerajaan MADANI menjadikan AIM antara institusi yang diberi perhatian semula melalui peningkatan peruntukan.

Menurutnya, kerajaan menyalurkan RM10 juta kepada AIM pada 2023 sebelum meningkatkan jumlah itu kepada RM230 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi membolehkan lebih ramai usahawan daripada pelbagai kaum menerima manfaat.

Beliau turut memuji disiplin Sahabat Amanah Ikhtiar yang meminjam dalam jumlah kecil tetapi berusaha membayar balik pinjaman bagi mengubah taraf hidup keluarga masing-masing.

“Saya amat menghormati disiplin mereka. Mereka meminjam sedikit tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk melunaskan bayaran dan memperbaiki kehidupan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program AIM di negeri berkenaan.

Beliau turut mengingatkan pengurusan AIM supaya terus mempertahankan budaya amanah serta semangat persahabatan dalam membantu keluarga miskin tanpa mengira kaum.

“Uruslah institusi ini dengan amanah, pertahankan semangat persahabatan dan teruskan membantu keluarga miskin tanpa mengira kaum demi mengangkat martabat rakyat dan negara,” katanya.

BACA JUGA RCI Tabung Haji: Faris Arriffin Dakwa Amalan Zaman UMNO-BN Jejas Kedudukan Kewangan TH