18 nyawa melayang setiap hari, Dr Dzulkefly tegur konvoi mega, gesa henti mentaliti ekstrem di jalan raya
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa penganjur program konvoi mega mengambil tanggungjawab moral lebih serius susulan siri kemalangan maut yang berulang, termasuk ketika penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini.
Beliau berkata, di sebalik kemeriahan acara permotoran yang menghimpunkan ribuan peminat, pasukan kecemasan hospital di seluruh negara sering berdepan realiti memilukan apabila mangsa nahas dibawa masuk dalam keadaan kritikal.
Lebih menyedihkan, katanya, ada keluarga yang tiba-tiba kehilangan tempat bergantung akibat kemalangan jalan raya.
“Setiap kali tibanya hujung minggu yang menghimpunkan peminat permotoran, bilik-bilik kecemasan di hospital seluruh negara sering berhadapan dengan realiti yang amat memilukan.
“Di sebalik kerancakan acara, ada keluarga yang menerima khabar duka, kehilangan tempat bergantung akibat nahas jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Dalam masa sama, Dr Dzulkefly turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini serta mendoakan agar mereka diberikan ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
Paling getir
Menurut Dr Dzulkefly, nahas jalan raya bukan sekadar isu pengangkutan, sebaliknya merupakan antara cabaran kesihatan awam paling getir yang dihadapi negara.
Katanya, kemalangan jalan raya merupakan penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.
Berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan, secara purata seramai 18 orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap hari.
Lebih membimbangkan, katanya, sebanyak 59 peratus daripada kematian tersebut melibatkan penunggang motosikal.
Beliau mengingatkan bahawa setiap nyawa yang terkorban turut membawa kesan besar kepada institusi keluarga dan ekonomi negara.
Berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik, katanya, kerajaan menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap nyawa yang hilang.
Namun, tegas beliau, angka tersebut tidak mampu menggambarkan penderitaan sebenar keluarga mangsa.
“Ini bukan sekadar angka; ia mewakili ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan, serta modal insan produktif yang hilang sekelip mata.
“Berapa ramai isteri muda yang tiba-tiba terpaksa bergelar balu? Berapa ramai anak kecil yang kini membesar sebagai yatim?” soalnya.
Amat merisaukan
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau menghargai niat baik penganjur program permotoran yang mahu mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Bagaimanapun, siri kemalangan maut yang dilaporkan berulang sejak edisi awal sehingga RXZ Members 8.0 tidak boleh dipandang ringan.
“Kepada pihak penganjur program konvoi mega sebegini, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan kalian.
“Walau bagaimanapun, siri kemalangan maut yang terus berulang dari edisi pertama hinggalah ke penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini amat merisaukan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan peserta diberi keutamaan dalam setiap acara.
Justeru, pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya perlu dijadikan agenda wajib, bukannya sekadar sisipan sampingan.
Katanya, budaya mengejar kelajuan dan aksi ekstrem perlu dihentikan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban sia-sia.
Selain itu, Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa setiap lonjakan kes kemalangan dalam tempoh singkat memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan awam.
Menurutnya, sumber hospital termasuk bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah serta tenaga pakar pelbagai disiplin terpaksa digerakkan dan dialihkan bagi merawat mangsa nahas.
“Inilah realiti sistem kesihatan kita: satu peratus tenaga kerja KKM menggalas tanggungjawab menguruskan 99 peratus populasi rakyat Malaysia,” katanya.
Nyawa yang hilang
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada seluruh Pasukan Kecemasan dan Trauma Pelbagai Disiplin Kementerian Kesihatan Malaysia yang berhempas-pulas merawat serta menyelamatkan mangsa kemalangan.
Tambahnya, fasiliti dan peralatan perubatan boleh diganti, tetapi nyawa yang hilang tidak mungkin dikembalikan.
Justeru, beliau menyeru masyarakat permotoran meninggalkan slogan lama yang mengagungkan kelajuan atau keberanian melampau, sebaliknya membudayakan slogan baharu yang lebih sederhana dan selamat.
“Sudah tiba masanya kita mengubah mentaliti ekstrem di jalan raya.
“Hentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan — ‘Yang Santai, Pasti Sampai’,” katanya.
Slogan tersebut, jelasnya, perlu dijadikan pegangan bagi menggalakkan tunggangan berhemah, pematuhan had laju dan sasaran kemalangan sifar.
“Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera anda.
“Ingatlah wajah insan tersayang yang sentiasa mendoakan kepulangan anda di rumah,” kata Dr Dzulkefly lagi.
BACA JUGA Tok Jalal berputih mata, percaturan tenang Istana angkat Ismail Lasim jadi MB