Gelombang takutkan Melayu takkan bertahan, Presiden AMANAH yakin rakyat kembali nilai prestasi dan integriti
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu yakin gelombang politik identiti yang mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu tidak akan bertahan lama apabila rakyat kembali menilai sesebuah parti berdasarkan prestasi, keupayaan mentadbir dan integriti.
Tegasnya, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan perlu diterima sebagai sebahagian daripada proses demokrasi matang, selain menjadi ruang untuk semua pihak melakukan penilaian dan penambahbaikan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, politik sentimen sempit kini kembali dimainkan dengan parti-parti tertentu digambarkan sebagai ancaman kepada Islam dan Melayu sehingga persepsi itu diterima oleh sebahagian masyarakat tanpa penelitian mendalam.
“Di negara kita, naratif yang sama diulang menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya dengan melabel parti-parti tertentu sebagai ancaman kepada Islam dan Melayu.
“Persepsi ini disebarkan secara berterusan sehingga sebahagiannya diterima tanpa penelitian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, keputusan PRN Negeri Sembilan menyaksikan AMANAH tewas di sembilan kerusi DUN ditandingi.
Sementara itu, rakan komponen PH iaitu DAP dan PKR masing-masing menang sembilan dan dua kerusi sekaligus menyumbang 11 kerusi untuk gabungan berkenaan.
Barisan Nasional (BN) pula memenangi 18 kerusi dengan Umno menguasai semua 16 kerusi yang ditandingi diikuti MCA dengan dua kerusi.
Bagi Perikatan Nasional (PN), blok itu mendapat tujuh kerusi DUN menerusi Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) masing-masing menang empat dan tiga kerusi.

Gelombang sentimen
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, fenomena politik identiti bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut berkembang di beberapa negara Eropah menerusi kebangkitan fahaman kanan melampau.
Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan turut mengingatkan bahawa gelombang sentimen seumpama itu pernah berlaku dalam sejarah negara, termasuk sekitar tahun 1969 dan ketika Operasi Lalang pada 1987.
Namun katanya, rakyat Malaysia semakin matang dan akhirnya akan kembali membuat pertimbangan berasaskan pencapaian sebenar sesebuah kerajaan, bukannya ketakutan yang dicipta menerusi sentimen kaum dan agama.
“Saya yakin gelombang ini tidak akan bertahan lama. Rakyat Malaysia semakin matang.
“Pada akhirnya, rakyat akan kembali menilai berdasarkan prestasi, keupayaan mentadbir dan integriti,” ujarnya yang mesra dipanggil Bang Mat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera AMANAH termasuk Jawatankuasa Nasional, Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN), Pemuda, Wanita Muda AMANAH (WARDA) serta ahli-ahli parti di semua peringkat yang membantu calon Pakatan Harapan (PH) sepanjang PRN Negeri Sembilan.
Mohamad berkata, meskipun AMANAH sebelum ini diuji dengan keputusan pilihan raya di Johor sehingga ada pihak mempersoalkan kekuatan dan daya tahan parti itu, semangat pengorbanan jentera kembali terserlah di Negeri Sembilan.
Menurutnya, terdapat jentera dari negeri-negeri lain yang hadir bersama pasukan masing-masing, menguruskan makan minum secara berdikari dan bekerja tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Inilah kekuatan sebenar AMANAH – kekuatan yang lahir daripada keikhlasan dan keyakinan terhadap perjuangan,” katanya.
Terus istiqamah
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan, AMANAH akan terus istiqamah membawa gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin yang menampilkan Islam sebagai agama keadilan, kesederhanaan dan rahmat kepada seluruh umat manusia.
Katanya, pendekatan itu berbeza daripada tafsiran politik agama yang digunakan untuk menimbulkan ketakutan, kebencian dan perpecahan dalam masyarakat.
Beliau turut menyeru ahli dan penyokong AMANAH supaya terus kental, tidak terjebak dengan politik kebencian serta memperhebatkan usaha mendekati dan berkhidmat kepada rakyat melalui pendekatan sederhana dan berhemah.
“Insya-Allah, akan tiba masanya rakyat menolak fahaman perkauman yang sempit dan memilih politik yang lebih matang serta inklusif.
“Kita kekal yakin dengan perjuangan kita — menegakkan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin,” katanya.
Bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, semakin ramai rakyat termasuk masyarakat bukan Islam kini mula memahami bahawa pendekatan Islam yang dibawa AMANAH bersifat adil, sederhana dan menjamin kesejahteraan semua pihak.
Tambahnya, perjuangan AMANAH masih panjang dan seluruh kepimpinan serta jentera perlu terus melangkah dengan yakin dan penuh tanggungjawab demi masa depan negara.
BACA JUGA Ismail Lasim sah MB baharu Negeri Sembilan selepas PH tinggal rizab RM1.3 bilion