Politik kaum kalahkan prestasi, keputusan PRN Negeri Sembilan amaran bahaya kepada negara

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sahaja menuntut Pakatan Harapan (PH) melakukan muhasabah besar-besaran, malah menjadi amaran berbahaya terhadap masa depan negara jika politik perkauman terus dibiarkan mengatasi prestasi dan tatakelola kerajaan.

Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, kekalahan PH tidak boleh dijelaskan dengan hanya menuding jari kepada kempen berasaskan kaum yang dimainkan lawan, sebaliknya gabungan itu juga perlu berani mengakui kelemahan sendiri.

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti PH dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi.

Keputusan itu membuka laluan kepada kerjasama BN-PN untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas PH gagal mempertahankan pentadbiran yang diterajuinya sejak 2018.

Pada 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 dan PN lima, dengan PH-BN menguasai keseluruhan 31 kerusi sebelum hubungan kedua-dua gabungan itu mengalami keretakan menjelang pilihan raya kali ini.

Kelemahan sendiri

Dalam masa sama, Norman berpendapat punca kekalahan PH perlu dilihat menerusi formula “50-50”, iaitu separuh berpunca daripada serangan perkauman pihak lawan, manakala separuh lagi disebabkan kelemahan dalaman PH sendiri.

“Keputusan di Negeri Sembilan bahaya untuk masa depan negara. Kita perlu muhasabah walaupun kita dikalahkan dengan serangan perkauman.

“Lima puluh peratus kerana lawan memainkan isu perkauman yang mampu merosakkan negara dan 50 peratus lagi kerana kegagalan kita sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Norman, penyokong PH sememangnya berhak kecewa apabila isu rasuah dan penyelewengan bernilai berbilion ringgit seolah-olah tidak lagi menjadi pertimbangan sebahagian pengundi Melayu apabila berhadapan sentimen menolak DAP.

Namun, katanya, kekecewaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk PH mengelak daripada menilai mengapa parti tersebut semakin ditolak pengundi.

BACA JUGA Keputusan lengkap PRN Negeri Sembilan ke-16