29 kes kemalangan babit RXZ Members 8.0, meningkat berbanding tahun lalu

Kemalangan jalan raya sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 pada tahun ini mencatatkan peningkatan di mana sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan.

Angka itu meningkat berbanding hanya 11 kes dalam penganjuran program tersebut pada tahun 2025.

Daripada jumlah tersebut, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lima kes adalah kemalangan maut, berbanding dua kes pada tahun lalu.

“Empat mangsa adalah lelaki dan seorang mangsa wanita yang semuanya dalam lingkungan umur 20 hingga 48 tahun.

“Dua kes melibatkan motosikal RXZ di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi melibatkan lain-lain jenis motosikal di Kemaman dan Dungun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 1,850 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh pihak polis Terengganu dengan 222 motosikal telah pun disita.

Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mohd Khairi berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) Terengganu telah1 membuat enam tangkapan terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang lelaki warganegara Singapore berusia 22 tahun.

“Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 di Mahkamah Majistret daerah tangkapan masing-masing.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000,” katanya.

Bagi kes jenayah pula, sebanyak empat kes dicatatkan berbanding enam kes yang direkodkan pada penganjuran RXZ Members 7.0 tahun lalu.

Bagi kes curi motosikal, hanya satu kes pada tahun ini iaitu kehilangan motosikal jenis Yamaha 125 Z di luar Litar Pemotoran Gong Badak.

Menurutnya, statistik kes jenayah komersil pula, hanya satu kes penipuan direkodkan melibatkan penipuan tawaran inap desa (homestay) tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus, dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,200.

Laporan kes jenayah narkotik pula, di daerah Kuala Terengganu sahaja, sebanyak 15 pemeriksaan dijalankan ke atas individu serta lokasi yang disyaki sepanjang tempoh penganjuran program tersebut.

“Tujuh lokasi pemeriksaan adalah di inap desa manakala bakinya adalah pemeriksaan di sekitar tapak program.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dilaksanakan, tindakan tegas diambil dengan tiga tangkapan melibatkan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

BACA JUGA Mujahid kesal, sifatkan BN tikam rakan dengan bahagi kerusi bersama PN