Selepas 22 tahun jadi Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke akhirnya lepas jawatan
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke malam ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas 22 tahun menyandang jawatan tersebut.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, keputusan itu dibuat sebagai mengambil tanggungjawab atas prestasi parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kelmarin.
Menurut Menteri Pengangkutan itu, beliau bagaimanapun menegaskan keputusan tersebut diambil atas dasar peribadi tanpa tekanan mana-mana pihak.

“Tiba masa untuk saya berundur sebagai Pengerusi (DAP) Negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri untuk melantik dan memilih daripada Ahli Jawatankuasa sedia ada,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini.
Ahli Parlimen Seremban berkenaan memaklumkan peletakan jawatannya itu akan berkuat kuasa selepas mesyuarat kepimpinan DAP Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung dalam minggu ini.
“Jadi, saya sekali lagi akan mempengerusikan mesyuarat untuk membuat usul untuk memilih Pengerusi (DAP) baharu.
“Keputusan itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang,” katanya lagi.
BACA JUGA Jangan berteduh sambil asah kapak, hala tuju BN bersama PN dicurigai