RENCANA | Kalkulator ekonomi sahaja tak cukup, ini sebab politik identiti masih berkuasa
OLEH AYMAN RASHDAN WONG
Perkembangan politik tanah air kebelakangan ini memberi isyarat jelas: Gelombang kebangkitan Melayu-Islam adalah real.
Ia bukan sesuatu yang sementara. Bukan hanya gah masa PRU tahun 2022. Sebaliknya, ia telah jadi leitmotif (tema utama) politik negara sejak tahun 2018 lagi.
Saya tak perlu cerita panjang apa yang berlaku antara tahun 2018 dan 2026. Sebut nama parti kang, semua macai masuk komen, terus rosak perbincangan ilmiah.
Tapi kalau nak rumuskan, 8 tahun yang lepas kita menyaksikan wujudnya rasa gelisah yang sangat mendalam dalam kalangan orang Melayu tentang masa depan mereka, lalu masing-masing mula pasang mod bertahan (defensive).
Malah, ramai yang berfikiran “terbuka” dan “progresif” sebelum 2018, telah berubah jadi makin “kanan”. Ini termasuklah anak muda Gen Z yang baru saja masuk dunia dewasa dan mula mengundi.
Mereka yang tak suka atau rimas dengan fenomena kebangkitan Melayu ni akan cepat melatah:
“Bila negara nak maju kalau asyik nak cerita pasal kaum dan agama?”
Yang lebih ganjil ialah “teori pendulum”: kononnya Malaysia “swing” ke kanan sebab hidup terlalu selesa, prestasi ekonomi terlalu bagus, sampai tak ada benda lain nak dibuat selain mainkan isu identiti.
Inilah salah satu kefahaman silap yang terbesar pasal politik. Seolah-olah politik identiti ni sesuatu yang sesat, tersasar jauh, patut dibasmi, dan dibuang terus.
Sebenarnya, politik identiti bukan benda baharu. Ia sentiasa menjadi sebahagian daripada fitrah politik manusia.
Bahkan, politik yang konon menolak politik identiti dengan menekankan naratif inklusif dan hak kesamarataan juga adalah sejenis politik identiti.
Nak faham benda ni, kita kena rujuk kitab politik sikit.
Kat Barat pun ada fenomena yang lebih kurang sama. Kebangkitan kelompok kanan yang menekankan identiti kulit putih dan tradisi Kristian kini melanda merata-rata.
Kat Amerika ada gerakan MAGA, kat Eropah ada parti National Rally (RN) di Perancis dan AfD di Jerman.
Negara-negara yang aman damai dan kaya-raya macam Norway, Sweden, Switzerland, dan New Zealand pun tak dapat elak daripada kebangkitan sayap kanan ni.
Ni semua negara maju. Jadi, andaian bahawa politik identiti hanya laku di negara mundur adalah andaian yang salah.
Biasanya, media arus perdana akan melabel gelombang ini sebagai gerakan rasis dan xenofobik (benci orang asing) semata-mata.
Walaupun tak dinafikan ada ramai rasis dalam kelompok tersebut, tapi untuk fenomena yang sebesar ini, kita tak boleh menuduh semua orang rasis. Ia pasti ada sesuatu yang lebih mendalam.
Dalam banyak-banyak sarjana yang kaji fenomena ini, yang paling banyak dirujuk dan paling berwibawa ialah Francis Fukuyama.
Dia orang Amerika, tapi keturunan Jepun. Minat utama dia ialah falsafah politik klasik, terutama tradisi falsafah Yunani.
Fukuyama merumuskan ideanya tentang politik identiti dalam buku Identity (2018). Tapi point dalam buku itu sebenarnya dah dikupas dalam mahakarya yang diterbitkan pada tahun 1992, The End of History and the Last Man.
Hujah Fukuyama mudah: politik identiti lahir daripada keperluan asas manusia, bukan sesuatu yang sengaja dibuat-buat oleh ahli politik untuk memanipulasi masyarakat.
Keperluan tu dinamakan sebagai “the desire for recognition” (keperluan untuk diiktiraf).
Bagi Fukuyama, nak faham politik, kita kena faham manusia terlebih dahulu. Dan cara dia faham manusia adalah berdasarkan kaedah falsafah Yunani.
Ahli falsafah Yunani macam Plato membahagikan jiwa manusia kepada 3 bahagian: Logos, Thymos, dan Epithymia.
Logos adalah akal yang dilambangkan oleh otak kita. Logos ni memandu kita untuk berfikir secara rasional, mengira untung rugi, dan membedah baik buruk.
Thymos adalah perasaan atau emosi yang dilambangkan oleh bahagian dada. Thymos ni mendorong kita untuk rasa marah apabila dihina, atau rasa bangga apabila dihormati. Dengan kata lain, thymos = maruah.
Epithymia pula adalah nafsu material yang dilambangkan oleh perut. Epithymia ni menggerakkan kita untuk makan, minum, mencari harta, dan menjalankan kelangsungan biologi yang lain.
Dalam tradisi intelektual Islam pun ada pembahagian yang serupa: nafsu natiqah, nafsu ghadab, dan nafsu syahwat.
Beza Logos, Thymos & Epithymia
Nak pendekkan cerita, perilaku manusia dalam berpolitik adalah didorong oleh tiga bahagian jiwa ini.
Logos memandu kita untuk berpolitik secara rasional, merancang dasar, dan menilai tadbir urus.
Thymos pula menggerakkan politik yang berkisar tentang maruah, sejarah, warisan, dan mempertahankan identiti.
Akhir sekali, Epithymia memfokuskan kepada politik isi perut, pengurusan pendapatan, ekonomi, dan pemenuhan keperluan material.
Setiap satu ni kena seimbang. Tak boleh hanya pentingkan satu dan ketepikan yang lain.
Apabila setiap bahagian jiwa diletakkan pada tempatnya yang betul, maka barulah kita mencapai dikaiosyne, atau keadilan politik.
Inilah “blind spot” (titik buta) kebanyakan pengkomen politik moden hari ini.
Mereka fikir politik hanya pasal benda-benda rasional (Logos) dan benda pasal ekonomi serta kos sara hidup (Epithymia).
Semua tu penting. Tapi ia hanya memenuhi 2 daripada 3 keperluan manusia. Ada satu lagi keperluan iaitu tuntutan maruah yang tak dapat dipenuhi melainkan melalui Thymos.
Malah kadang-kadang, manusia sanggup berlapar dan menanggung kerugian ekonomi semata-mata kerana mahu menjaga maruah Thymos mereka.
Dalam sejarah dunia, banyak perang dan revolusi bukan berlaku sebab ekonomi tak bagus atau kerajaan tak pandai jaga kebajikan. Tapi ia meletus sebab pemerintah menafikan maruah dan menindas identiti sesuatu kaum.
Jadi, politik dalam takrifan Fukuyama adalah “the struggle for recognition” – perjuangan supaya identiti kita diiktiraf.
Keinginan untuk diiktiraf ni pula berpecah kepada dua: Satu ialah megalo-thymia, dan satu lagi iso-thymia.
Megalo-thymia ialah keinginan untuk diiktiraf sebagai lebih unggul, istimewa, atau paling utama.
Iso-thymia pula ialah keinginan untuk diiktiraf secara sama rata dan setaraf.
Dalam konteks politik Malaysia, politik identiti Melayu-Islam mewakili watak megalo-thymia ini.
Bagi kebanyakan orang Melayu, soal kedudukan istimewa Melayu, kedaulatan Raja-raja, dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah garis merah yang tak boleh dilanggar.
Benda ni bukan dibuat-buat. Dah memang ada dalam Perlembagaan hasil daripada muafakat antara kaum masa mencapai Kemerdekaan dahulu.
Apabila mereka rasa kedudukan asal ini boleh terancam, maka unsur megalo-thymia ini akan tersentak lalu bertindak balas untuk mempertahankan status quo.
Tapi bukan hanya orang Melayu saja yang ada politik identiti. Politik identiti bukan Melayu pula diwakili oleh sifat iso-thymia.
Iso-thymia adalah tuntutan untuk diiktiraf secara sama rata sebagai warganegara. Mereka tak nak dipandang sebagai kelas kedua atau inferior.
Keinginan ni juga diiktiraf dalam sistem kita. Semua warganegara Malaysia adalah sama di sisi undang-undang. Malah kaum bukan Melayu bebas untuk mengamalkan budaya dan menggunakan bahasa ibunda mereka. Semua tu dijamin oleh Perlembagaan.
Jadi, Perlembagaan Malaysia sebenarnya dah cuba mengharmonikan kedua-dua tuntutan identiti ini menerusi satu jalan tengah (kontrak sosial).
Dan selama lebih 60 tahun, kestabilan perlembagaan ini dijamin oleh dominasi politik beridentiti Melayu.
Tapi orde lama itu runtuh pada tahun 2018 apabila tampuk kuasa beralih kepada pakatan politik yang membawakan naratif lebih inklusif.
Walaupun elit politik baharu itu tidak secara terang-terangan mahu memansuhkan kedudukan istimewa Melayu, tapi penyokong mereka mula membuat pelbagai desakan agresif.
Antaranya termasuklah menuntut pengiktirafan sama rata untuk sistem pendidikan alternatif, mengangkat penggunaan bahasa ibunda seolah-olah menjadi bahasa rasmi, mendesak kerajaan meratifikasi konvensyen hak asasi antarabangsa.
Bagi sebahagian orang Melayu, tindakan-tindakan ini ditafsirkan sebagai cabaran terhadap kedudukan yang mereka anggap asas kepada kontrak sosial negara.
Akibatnya, orang Melayu berasa identiti asal tanah air sedang cuba dipadamkan untuk diganti dengan sebuah negara kosmopolitan yang tidak berwajah.
Di situlah konteks datangnya gelombang penyatuan Melayu-Islam: ia satu mekanisma pertahanan jiwa (Thymos) untuk menyelamatkan status quo kedaulatan mereka.
Tapi pada masa yang sama, makin orang Melayu memperkukuhkan benteng kanan mereka, kelompok bukan Melayu akan berasa semakin asing dan terancam. Ini akhirnya mengeraskan lagi tuntutan kesamarataan (iso-thymia) mereka.
Apabila tuntutan ini buntu, kita dapat lihat peratusan undi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu pada beberapa siri pilihanraya terkini.
Mereka kecewa kerana parti pilihan mereka seolah-olah tidak lagi memperjuangkan iso-thymia mereka dan terpaksa tunduk kepada naratif majoriti. Dari kekecewaan ini, lahir pula sikap tidak kisah (apathy) terhadap politik.
Walau bagaimanapun, realitinya majoriti bukan Melayu masih menaruh harapan pada iso-thymia, walaupun ada segelintir yang mula pasrah.
Begitu juga majoriti Melayu yang masih tegar mempertahankan megalo-thymia, walaupun ada ramai juga anak muda bandar yang menganggapnya tidak lagi penting.
Jadi, politik identiti di Malaysia bukannya bersifat hitam putih atau dualistik mutlak: tak semua Melayu itu ekstrem megalo-thymia, dan tak semua bukan Melayu itu radikal iso-thymia.
Cuma masalahnya, sesetengah elit yang berhaluan liberal atau pluralis hari ini cuba menafikan kewujudan dinamika Thymos ini.
Bagi mereka, politik sepatutnya cerita pasal prestasi angka, KPI ekonomi, dan kecekapan urus tadbir sahaja. Soal maruah, sejarah, dan identiti kaum semua dianggap tidak penting dan kolot.
Ini ialah satu kesilapan besar. Tuntutan Thymos (emosi, sentimen, dan maruah) tidak dapat dipadamkan hanya melalui hujah rasional Logos atau pemenuhan keperluan material Epithymia.
Ibaratnya, kita kata dekat rakyat: “Kami dah bagi korang makan (ekonomi yang bagus), dah bagi rumah (kerajaan yang cekap), you nak apa lagi?”
Kalau kita layan anak kecil macam ni pun, anak kecil ada rasa hati dan boleh merajuk. Apatah lagi kelompok manusia dewasa yang ada kuasa undi.
Apabila emosi kelompok majoriti ini dinafikan, maka hasilnya adalah tindak balas yang kita lihat sekarang: makin ditekan dengan hujah rasional, makin kuat gelombang kanan itu.
Begitu juga sebaliknya. Tuntutan iso-thymia kelompok bukan Melayu tidak akan hilang begitu sahaja hanya disebabkan dominasi politik kanan.
Rasa tak puas hati itu mungkin terpendam seketika, tapi kalau dibiarkan tanpa penyelesaian yang berhikmah, ia akhirnya akan mengoyakkan fabrik sosial masyarakat kita dari dalam.
Jadi, para pembuat dasar dan pemimpin negara mesti kena ada kebijaksanaan luar biasa dalam mengharmonikan dua tuntutan Thymos ini.
Kita tidak boleh mentadbir sebuah negara bangsa hanya dengan kalkulator ekonomi, tapi gagal membaca sejarah dan psikologi warganegaranya.
Hanya dengan mendamaikan Logos, menghormati tuntutan Thymos, dan mencukupkan keperluan Epithymia secara adil, barulah kestabilan politik tanah air yang sebenar dapat dicapai.
Sebenarnya ramai cendekiawan Malaysia dah menulis tentang Megalothymia vs. Isothymia ni. Antaranya penulis prolifik Firdaus Zainal yang ada beberapa buah buku pasal ni. Saya belum sempat baca buku-buku beliau, tapi rasa poin-poin yang dibawa lebih kurang sama.