Tolak politik kacau-bilau, Pemuda AMANAH Pahang ikrar pertahan kerajaan pimpinan Wan Rosdy

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Pahang menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selagi pentadbiran itu kekal mengutamakan kestabilan, tadbir urus baik dan kebajikan rakyat.

Ketuanya, Ahmed Wafiuddin Shamsuri berkata, kestabilan politik tidak boleh dilihat semata-mata sebagai usaha mengekalkan sesebuah kerajaan, sebaliknya menjadi asas penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan berkesan.

Menurutnya, suasana politik yang stabil membolehkan pembangunan diteruskan, pelaburan diperkukuh serta dasar dan bantuan kepada rakyat dilaksanakan tanpa diganggu percaturan politik berpanjangan.

“Pemuda AMANAH Pahang memilih kestabilan daripada kekacauan, memilih khidmat kepada rakyat daripada percaturan politik dan memilih kemajuan Negeri Pahang daripada kepentingan sempit mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan Pahang pimpinan Wan Rosdy Wan Ismail pada masa ini terdiri daripada gabungan 17 kerusi DUN Barisan Nasional (BN) dan lapan kerusi DUN Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) pula menguasai 17 kerusi pembangkang daripada keseluruhan 42 kerusi.

Mengulas lanjut, Ahmed Wafiuddin turut memberikan pengiktirafan kepada kepimpinan Wan Rosdy yang disifatkan berjaya mengemudi pentadbiran negeri menerusi kerangka Kerajaan Perpaduan, termasuk mengekalkan hubungan harmoni antara BN dan PH.

Katanya, kematangan Menteri Besar dalam menguruskan perbezaan politik serta kesediaan bekerjasama dengan kepimpinan PH telah membantu mewujudkan suasana politik yang lebih stabil di Pahang.

Walaupun parti-parti dalam kerajaan negeri datang daripada latar dan pandangan berbeza, beliau berkata, kepentingan rakyat serta pembangunan negeri terus dijadikan titik pertemuan bersama.

“Inilah semangat sebenar Kerajaan Perpaduan. Kita mungkin berbeza parti, tetapi apabila diberikan amanah mentadbir, kepentingan rakyat mesti mengatasi kepentingan politik kepartian,” katanya.

Meneruskan pembangunan

Pemuda AMANAH Pahang turut melihat usaha pentadbiran negeri memperkukuh kedudukan ekonomi dan kewangan Pahang sebagai pencapaian yang wajar diberikan pengiktirafan.

Menurut Ahmed Wafiuddin, usaha meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan, merancakkan aktiviti ekonomi serta meneruskan pembangunan telah memberikan keyakinan terhadap hala tuju pentadbiran semasa.

Kestabilan yang dinikmati negeri itu, katanya, membolehkan kerajaan memberikan tumpuan terhadap peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pembangunan luar bandar, masyarakat FELDA, infrastruktur serta peningkatan taraf hidup.

Justeru, beliau menegaskan pencapaian itu perlu diteruskan melalui kerjasama lebih erat antara semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang.

Pada masa sama, Ahmed Wafiuddin menjelaskan sokongan Pemuda AMANAH bukanlah “cek kosong” atau sokongan tanpa prinsip.

Sebaliknya, sayap pemuda komponen PH itu akan terus memainkan peranan sebagai rakan kerajaan yang konstruktif dengan menyampaikan pandangan, teguran dan kritikan membina apabila diperlukan.

“Kestabilan tidak bermaksud menutup ruang teguran. Sebaliknya, kestabilan perlu digunakan untuk membina sebuah pentadbiran yang lebih telus, berintegriti, cekap dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendapatan dan keperluan pembangunan setempat, semua pihak sepatutnya menumpukan usaha menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, mencetuskan episod ketidakstabilan politik baharu hanya akan mengalihkan perhatian kerajaan daripada agenda membela rakyat.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Pahang menyeru semua pimpinan BN dan PH supaya terus mempertahankan persefahaman yang telah dibina, manakala sebarang perbezaan diselesaikan melalui musyawarah, rundingan dan semangat saling menghormati.

“Kami akan terus bersama-sama mempertahankan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang selagi pentadbiran ini kekal berpaksikan kepentingan rakyat, kestabilan negeri, tadbir urus yang baik serta pembangunan yang adil dan inklusif,” tegas Ahmed Wafiuddin Shamsuri lagi.

BACA JUGA Tergamak Ridhuan Tee gelar ‘Mujahat’ selepas panggil ‘barua Melayu PH’