BN sanggah dakwaan Rais isu MB: “Kami tak campur urusan adat”

Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan kononnya gabungan itu mencampuri urusan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan dalam pelantikan Menteri Besar baharu, sambil menegaskan semua proses dibuat mengikut lunas yang ditetapkan.

Mengulas dakwaan Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata gabungan itu hanya mengambil bahagian dalam pilihan raya dan tidak pernah campur tangan dalam urusan adat negeri.

“Dalam soal krisis adat dan sebagainya, pendekatan Barisan Nasional adalah kita tidak boleh mengambil pendekatan untuk mencampuri sama sekali, kerana apa yang kita ada… kita telahpun berhadapan dengan pilihan raya.

“Pilihan raya negeri ini memerlukan penglibatan parti-parti politik untuk bertanding dalamnya. Maka hari ini kita melihat, kita telahpun berjaya membentuk kerajaan itu. Pelantikan Menteri Besar telahpun dibuat, kita mengikuti proses yang ditetapkan,” katanya selepas menyempurnakan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI 2026.

Zambry mengulas dakwaan Rais yang mempersoalkan proses pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dengan mendakwa wujud campur tangan pihak luar dalam urusan adat dan Perlembagaan negeri.

Menurut Zambry, setiap pihak berhak mengemukakan pandangan masing-masing, namun BN tidak akan mengulas perkara yang bersifat teknikal di luar proses yang telah ditetapkan.

“Soal itu telahpun kita ambil kira semua faktor dan langkah-langkah yang kita ambil pun, kita lihat daripada kesemuanya.

“Maka, soal-soal teknikal itu saya fikir biarlah kemudian, yang nak dipersoalkan. Kita tidak boleh mahu sekat pandangan-pandangan yang diberikan itu. Itu bergantung kepada beliau (Rais). Itu pandangan yang beliau sampaikan,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menegaskan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan dibuat mengikut proses yang ditetapkan, sekali gus menyanggah dakwaan bahawa BN mencampuri urusan adat atau Perlembagaan negeri.

BACA JUGA Jangan berteduh sambil asah kapak, hala tuju BN bersama PN dicurigai