Johor dan Negeri Sembilan baru ‘pemanas badan’, ujian sebenar BN-PN di Pantai Timur
Kejayaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor serta Negeri Sembilan belum boleh dianggap sebagai penanda aras kekuatan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sebaliknya, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Yusri Ibrahim berpandangan cabaran sebenar hanya akan bermula apabila Umno dan Pas berdepan di negeri yang kedua-dua parti mempunyai pengaruh hampir seimbang, khususnya di Pantai Timur.
“Cabaran utama kerjasama Umno-Pas bukan di Johor dan Negeri Sembilan. Ujian sebenar hanya akan bermula apabila kedua-dua parti sama-sama merasakan mereka kuat, terutama di Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan lebih mudah dicapai kerana Umno berada dalam kedudukan dominan, sekali gus menyaksikan Pas banyak bertolak ansur dalam rundingan kerusi.
“Di Johor dan Negeri Sembilan, Pas banyak mengalah. Mereka memberi lebih banyak kerusi kepada Umno dan berperanan sebagai pelengkap,” katanya.
Yusri berkata, situasi itu berbeza apabila kedua-dua parti mempunyai kekuatan yang hampir seimbang kerana masing-masing akan merasakan mereka lebih berhak mengetuai rundingan.
Beliau berkata, Melaka mungkin menjadi petunjuk awal kepada cabaran tersebut sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal.
Menurutnya, walaupun BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 dengan menguasai 23 daripada 28 kerusi DUN, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberikan gambaran berbeza apabila BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen.
Sebaliknya, PN menguasai tiga daripada enam kerusi Parlimen, termasuk dua dimenangi Pas dan satu oleh Bersatu.
“Dalam konteks Melaka, jika ukuran dibuat berdasarkan keputusan pilihan raya terakhir di peringkat Parlimen, PN lebih kuat berbanding BN dan Pas lebih kuat berbanding Umno,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu bakal menguji sama ada Pas akan terus berkompromi seperti di Johor dan Negeri Sembilan atau sebaliknya menuntut lebih banyak kerusi berdasarkan kekuatan semasa.
Pada masa sama, katanya, Umno juga perlu menentukan sama ada sanggup mengurangkan bahagiannya walaupun kini menerajui kerajaan negeri Melaka.
Bagaimanapun, Yusri berpandangan Melaka hanyalah “pemanas badan” kepada kerjasama BN-PN.
“Cabaran sebenar bukan di Melaka, tetapi di Pantai Timur dan negeri-negeri utara apabila Umno dan Pas sama-sama mempunyai kekuatan akar umbi yang besar. Di situlah ketahanan kerjasama ini benar-benar akan diuji,” katanya.
Menurut beliau, kemampuan kedua-dua parti mengurus rundingan di negeri-negeri berkenaan akan menjadi penentu sama ada formula kerjasama BN-PN mampu bertahan sehingga PRU16 atau sekadar berjaya di negeri yang menyaksikan salah satu parti lebih dominan.
BACA JUGA Isu MB Negeri Sembilan: Ismail jawab dakwaan Rais dengan satu ayat