Siasatan RCI Tabung Haji: SPRM tahan pengarah sebuah syarikat disyaki terlibat rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang pengarah sebuah syarikat hari ini kerana disyaki memberi rasuah bernilai RM300,000.

Suspek dipercayai memberi rasuah kepada bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun.

Rasuah tersebut didakwa diberikan sebagai balasan bagi membantu mendapatkan projek pengubahsuaian di badan berkanun berkenaan.

Perintah reman selama dua hari sehingga 5 Ogos ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan pukul 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2014 hingga 2018. 

“Suspek dipercayai telah memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO tersebut yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000,” katanya.

Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai 2026.

Sementara itu, SPRM turut menahan seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah.

Penahanan tersebut kerana disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada anak syarikat sebuah badan berkanun yang terbabit dalam sektor perladangan bernilai kira-kira RM8 juta.