ANALISIS | Dah 2026, Kedah masih bergelut air: Putrajaya topup RM50 juta selamatkan LRA ‘sangkut’

TEAM EDITORIAL

Ketika politik Kedah terus panas dengan pelbagai serangan terhadap kerajaan Persekutuan, isu paling asas kepada rakyat negeri itu masih belum selesai bekalan air.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menggesa semua pihak, khususnya pimpinan negeri, supaya berhenti mempolitikkan isu tersebut dan memberi tumpuan kepada penyelesaian sebenar, termasuk menyiapkan projek-projek Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh.

Menurut Akmal, Kedah bukan sekadar berdepan masalah gangguan bekalan air biasa, sebaliknya mencatat kedudukan membimbangkan apabila margin rizab bekalan air bersih negeri itu dilaporkan berada pada paras sifar peratus sejak beberapa tahun lalu.

Laporan Bernama sebelum ini memetik Akmal sebagai berkata Kedah tidak mempunyai simpanan bekalan air terawat apabila rizab marginnya dikesan sifar susulan tekanan air dan kekurangan infrastruktur. Kerajaan negeri pula menyasarkan rizab bekalan air terawat meningkat kepada 15 peratus selepas lima projek LRA siap sepenuhnya.

“Ini sudah tahun 2026, bukan lagi tahun 1970-an. Kita masih bergelut dengan keperluan asas seperti air.

“Sepatutnya kita selesaikan isu ini sekali dan untuk selama-lamanya, kemudian fokus kepada pembangunan negara,” kata Akmal dalam satu video.

Akmal berkata, tumpuan kerajaan Persekutuan terhadap projek LRA di Kedah bukan dibuat atas pertimbangan politik, sebaliknya berdasarkan keperluan mendesak rakyat dan ekonomi negeri.

Katanya, projek-projek LRA yang tertangguh perlu disiapkan segera kerana bekalan air yang stabil bukan sahaja penting untuk kegunaan harian rakyat, malah menjadi prasyarat kepada pelaburan dan pembangunan industri.

“Apabila bekalan air mencukupi, ia akan menyokong keperluan asas rakyat dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang pelaburan serta aktiviti ekonomi,” katanya.

LRA Sungai Limau terbengkalai

Antara projek yang menjadi perhatian ialah LRA Sungai Limau di Baling yang mengalami kelewatan serius sehingga kerajaan Persekutuan terpaksa campur tangan.

Bernama melaporkan projek bernilai hampir RM100 juta itu hanya mencapai kemajuan sekitar 15 hingga 20 peratus sebelum kerja pembinaan terhenti, menyebabkan kerajaan Persekutuan dijangka perlu menambah kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek tersebut.

RTM pula melaporkan kontrak asal projek itu ditamatkan pada April 2025 selepas kemajuan fizikal hanya mencapai 25.57 peratus, sekali gus memaksa proses tender semula dilaksanakan.

Menurut Akmal, kerajaan Persekutuan turut mengambil alih pengurusan projek berkenaan daripada kerajaan negeri, termasuk proses pelantikan kontraktor baharu, bagi memastikan projek itu tidak terus tersangkut.

Beliau berkata, kegagalan menyiapkan projek LRA Sungai Limau akan terus menjejaskan usaha meningkatkan rizab bekalan air Kedah yang sudah lama berada pada paras kritikal.

“Projek itu gagal disiapkan oleh kontraktor yang dilantik dan kontraknya telah ditamatkan. Maka perkara itu kembali kepada Kementerian Ekonomi melalui Notice of Change, sekali gus menimbulkan beban kos tambahan yang perlu disalurkan,” katanya seperti dilaporkan media sebelum ini.

Sanusi sudah lebih enam tahun mentadbir Kedah

Isu air di Kedah turut menimbulkan persoalan terhadap keupayaan pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada 17 Mei 2020, bermakna pentadbiran negeri hari ini sudah mempunyai tempoh lebih enam tahun untuk menangani isu struktur bekalan air.

Namun sehingga 2026, Kedah masih bergantung kepada pelaksanaan lima projek LRA utama Pelubang, Lubuk Buntar, Jenun Baharu, Bukit Selambau dan Sungai Limau  untuk mencapai sasaran rizab bekalan air 15 peratus menjelang 2027. Perkara itu turut dinyatakan oleh Exco kerajaan negeri Kedah sendiri dalam laporan media Pas.

Bagi pengkritik, keadaan itu menunjukkan isu air Kedah bukan boleh diselesaikan dengan retorik politik atau slogan menentang Putrajaya, sebaliknya memerlukan keupayaan pentadbiran, penyelarasan projek dan pemantauan kontraktor yang lebih tegas.

Akmal berkata, amat mendukacitakan apabila isu bekalan air di Kedah masih berlarutan walaupun ia merupakan keperluan asas rakyat.

“Apa yang saya nyatakan hanyalah fakta. Kita tidak boleh lagi melengah-lengahkan isu bekalan air di Kedah. Cukuplah berpolitik mengenai perkara ini,” katanya.

Bukan isu politik, tapi isu paip rakyat

Krisis bekalan air Kedah bukan sahaja menjejaskan keselesaan rakyat, malah boleh memberi kesan kepada keyakinan pelabur.

Dalam keadaan negeri lain berlumba menarik pelaburan baharu, bekalan air yang tidak stabil boleh menjadi halangan besar kepada pembangunan kawasan industri, perumahan dan aktiviti ekonomi.

Sebab itu, tindakan Kerajaan MADANI menambah peruntukan sekitar RM50 juta bagi menyelamatkan projek LRA Sungai Limau dilihat sebagai langkah campur tangan penting bagi memastikan rakyat Kedah tidak terus menjadi mangsa kelewatan projek.

Namun persoalan yang kekal ialah mengapa, selepas lebih enam tahun Kedah ditadbir kerajaan negeri hari ini, isu air masih menjadi masalah asas yang belum selesai.

Bagi Akmal, jawapannya mudah: hentikan politik, siapkan loji, pulihkan rizab air dan beri rakyat Kedah bekalan air yang mereka layak terima.

BACA JUGA Pas patut kembali sebagai Biro Agama Umno