Dulu kata tiada ‘sakau’, kini 40 MP bersiap bahas RCI TH di Parlimen
Isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang sebelum ini menjadi bahan perang politik mengenai istilah “sakau” bakal dibawa ke medan lebih besar apabila lebih 35 Ahli Parlimen dijangka mengambil bahagian dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bersetuju supaya sidang khas itu berlangsung secara berterusan tanpa waktu rehat bagi memberi ruang kepada lebih ramai wakil rakyat membahaskan laporan tersebut.
“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan isu tersebut,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata orang ramai boleh mengikuti perjalanan sidang khas itu secara langsung menerusi semua saluran media rasmi kerajaan sepanjang perbahasan berlangsung.
Bukan lagi perang istilah
Sidang khas itu dijangka menjadi tumpuan selepas laporan RCI Tabung Haji mencetuskan perdebatan panas, khususnya apabila beberapa pemimpin Umno mempertikaikan penggunaan istilah “sakau” kerana perkataan itu tidak disebut secara literal dalam laporan berkenaan.
Namun, perkembangan terbaharu ini menunjukkan isu tersebut tidak lagi boleh dikecilkan kepada perbahasan istilah semata-mata.
Laporan RCI yang diterbitkan oleh JAKIM membabitkan siasatan terhadap pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020. Dokumen itu dilaporkan setebal 211 halaman dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.
Antara dapatan utama yang menjadi perhatian ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan dalam penyata kewangannya ketika itu.
RCI turut mengenal pasti kelemahan tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, serta kebimbangan terhadap pengaruh politik dalam institusi berkenaan.
Selain membuka ruang perbahasan politik, sidang khas itu juga dijangka meneliti hala tuju pembaharuan Tabung Haji selepas laporan tersebut mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Menurut laporan media, sebanyak 75 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan RCI telah dilaksanakan, sekali gus meletakkan TH di landasan lebih baik dari segi pengurusan deposit dan operasi haji.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menyahklasifikasikan laporan RCI berkenaan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, selain meneruskan siasatan oleh badan penguat kuasa terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan pelanggaran undang-undang berdasarkan dapatan laporan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata sidang khas Dewan Rakyat itu diadakan bagi membolehkan laporan RCI Tabung Haji dibahaskan secara terbuka, selepas cadangan berkenaan mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat.
Langkah itu dilihat sebagai usaha Kerajaan MADANI membawa isu tersebut keluar daripada perang persepsi politik kepada penelitian institusi tertinggi negara.
Bagi kerajaan, perbahasan terbuka di Parlimen penting kerana TH bukan sekadar institusi kewangan, tetapi badan yang mengurus simpanan jutaan umat Islam untuk menunaikan haji.
Maka persoalan yang bakal dibangkitkan pada 11 Ogos bukan sekadar sama ada perkataan “sakau” wujud dalam laporan atau tidak.
BACA JUGA KJ baru mengaku lepas PRN? Netizen persoal kenapa tak tegur Akmal pertahan Naratif ‘tiada sakau’