Kenapa negara miskin masih gagal? Jomo dedah sisi gelap perdagangan bebas
Dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa liberalisasi perdagangan menjadi punca kemerosotan industri negara itu mungkin ada asasnya, namun hakikatnya negara membangun sudah lama menjadi pihak yang paling rugi akibat sistem perdagangan global yang tidak seimbang.
Ahli ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, dasar perdagangan bebas yang dipromosikan kuasa Barat sejak beberapa dekad lalu tidak pernah benar-benar menguntungkan semua negara seperti yang sering didakwa.
Menurut beliau, pentadbiran Trump pula bukan menawarkan penyelesaian baharu, sebaliknya menggunakan kuasa ekonomi Amerika bagi memaksa negara lain memenuhi kepentingan syarikat-syarikat besar AS menerusi tarif, ancaman perdagangan dan tekanan pelaburan.
“Dasar ‘America First’ bukan sahaja memperlahankan pertumbuhan ekonomi dunia, malah turut menjejaskan ekonomi Amerika sendiri,” katanya dalam satu analisis.
Jomo menjelaskan, sejak tamat Perang Dunia Kedua, AS mendominasi sistem perdagangan antarabangsa termasuk institusi ekonomi global yang akhirnya membentuk dasar liberalisasi perdagangan di bawah apa yang dikenali sebagai Konsensus Washington.
Bagaimanapun, katanya, era liberalisasi itu sebenarnya menyaksikan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan dan tidak stabil berbanding zaman dasar Keynesian selepas perang.
Beliau berkata, penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menerusi Perjanjian Marrakech 1994 turut mengehadkan ruang negara membangun melaksanakan dasar pembangunan industri mereka sendiri.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila AS sendiri mula melemahkan sistem WTO selepas gagal memastikan mekanisme penyelesaian pertikaian organisasi itu sentiasa memihak kepada kepentingannya.
“Washington melumpuhkan sistem penyelesaian pertikaian WTO dengan menghalang pelantikan hakim-hakim utama sejak era Presiden Barack Obama lagi,” katanya.
Jomo turut berhujah bahawa liberalisasi perdagangan yang dilaksanakan secara tidak menyeluruh menyebabkan proses perindustrian di negara Selatan Global berkembang secara tidak sekata.
Katanya, banyak negara membangun mengalami penyusutan sektor pembuatan sebelum sempat membangunkan industri yang benar-benar kukuh.
Di Afrika misalnya, beliau berkata pembangunan sektor pembuatan kekal minimum dan hanya tertumpu kepada aktiviti pemprosesan sumber asli atau industri penggantian import yang dilindungi kos pengangkutan tinggi.
Selain itu, beliau berkata negara-negara kaya turut menggunakan pelbagai bentuk konsesi perdagangan untuk memecah-belahkan negara membangun sekali gus melemahkan kuasa rundingan mereka di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menegaskan liberalisasi perdagangan menyebabkan banyak negara miskin kehilangan hasil cukai import yang sebelum ini menjadi sumber penting pendapatan kerajaan.
“Cukai penggunaan dan cukai pendapatan yang diperkenalkan selepas itu tidak pernah benar-benar menggantikan kehilangan hasil tarif, sekali gus melemahkan kedudukan fiskal negara membangun,” katanya.
Dalam sektor pertanian pula, Jomo berkata negara membangun terus berdepan halangan apabila negara maju enggan menghapuskan subsidi pertanian serta pelbagai sekatan import yang melindungi pengeluar mereka sendiri.
Sebaliknya, negara kaya terus mendesak negara membangun membuka pasaran industri masing-masing sebagai syarat timbal balik.
Beliau juga mempersoalkan dakwaan bahawa perdagangan bebas mampu mengurangkan kemiskinan.
Menurutnya, kebanyakan kajian mengenai Rundingan Doha WTO menunjukkan majoriti negara membangun dijangka mengalami kerugian bersih, kecuali beberapa ekonomi Asia.
“Tiada bukti kukuh bahawa liberalisasi perdagangan berjaya mengurangkan kemiskinan atau kelaparan secara signifikan. Negara termiskin, khususnya di Afrika Sub-Sahara, berisiko menjadi lebih teruk,” katanya.
Jomo turut mempersoalkan mengapa negara membangun perlu dipujuk melalui program “Aid for Trade” sekiranya liberalisasi perdagangan benar-benar memberi manfaat kepada mereka.
Beliau menyimpulkan bahawa liberalisasi perdagangan akhirnya mengehadkan keupayaan negara membangun membentuk dasar industri, pelaburan, perdagangan dan teknologi yang diperlukan untuk mencapai pembangunan mampan.
BACA JUGA “Jangan putus asa…”, tangisan penduduk sambut kepulangan Anthony Loke ke Chennah