Naratif ‘PH jarah Tabung Haji’ tersasar? Shahril Hamdan akui tidak selesa dengan kempen 2018
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mengakui beliau tidak selesa dengan naratif politik yang dimainkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), apabila Pakatan Harapan (PH) digambarkan seolah-olah “menjarah” Tabung Haji susulan pelaksanaan pelan pemulihan institusi itu.
Pengakuan itu dibuat ketika perdebatan mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kembali hangat selepas kerajaan menyahklasifikasikan laporan berkenaan yang memperincikan kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan institusi tersebut bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dalam podcast Keluar Sekejap, Shahril berkata naratif yang berkembang pada 2018 dan 2019 telah memberi gambaran bahawa pemindahan aset Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) merupakan tindakan “merompak” aset pendeposit, sedangkan isu sebenar jauh lebih kompleks.
“Saya sangat tak selesa apa yang berlaku pada 2018 dan 2019, di mana retorik dan naratifnya adalah bantai Pakatan Harapan sebab seolah-olah menjarah Tabung Haji semata-mata kerana aset dipindahkan kepada UJSB,” katanya.
Menurut beliau, polemik ketika itu turut dipengaruhi persepsi politik kerana Menteri Kewangan ketika itu daripada DAP, manakala UJSB diterajui oleh seorang bukan Melayu, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai spekulasi.
Namun, katanya, selepas lapan tahun berlalu, perbahasan mengenai Tabung Haji sepatutnya beralih daripada retorik politik kepada pengajaran yang boleh diambil daripada kelemahan pengurusan institusi tersebut.
“Saya harap pada tahun 2026, masa dah panjang berlalu. Tahun 2018 sudah berlalu. Ada perkara yang kita boleh belajar dan bukannya menganggap Umno itu sempurna,” katanya.
Shahril turut mengkritik usaha sesetengah pihak yang masih mempertahankan penggunaan konsep Realizable Asset Value (RAV) sebagai asas untuk menjelaskan kedudukan kewangan Tabung Haji ketika itu.
Menurutnya, penyata kewangan institusi berkenaan sepatutnya dinilai berdasarkan nilai aset yang diaudit mengikut piawaian perakaunan, bukannya menggunakan tafsiran yang membolehkan pembayaran hibah walaupun kedudukan kewangan sebenar dipersoalkan.
“Saya juga kesal kalau masih ada dalam Umno yang bercakap bahawa RAV itu satu tafsiran yang legitimate. Come on, itu bukan hujah yang dibuat dengan niat baik.
“Kita tak boleh sesuka hati mengubah nilai aset supaya nampak boleh bayar hibah. Kelestarian institusi hanya dijamin apabila pengurusan mematuhi akta dan prinsip perakaunan yang ditetapkan,” katanya.
Kenyataan Shahril dilihat selari dengan beberapa dapatan utama RCI Tabung Haji, yang antara lain menyimpulkan bahawa kelemahan pelaporan kewangan, tadbir urus dan pembayaran hibah melebihi kemampuan sebenar institusi menjadi faktor yang membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Dalam konteks itu, pengakuan seorang bekas pemimpin kanan Umno itu memberi dimensi baharu kepada naratif yang mendominasi perbahasan politik selepas PRU14, apabila beliau sendiri mengakui kempen yang menggambarkan PH sebagai “penjarah” Tabung Haji bukanlah cara terbaik untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku terhadap institusi berkenaan.
BACA JUGA Pas patut kembali sebagai Biro Agama Umno