Pelaburan RM1.95 bilion pacu transformasi subsektor tanaman,Seminar Pengembangan 2026 melabuhkan tirai

FOTO BERITA: Majlis Penutup Seminar Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2026 disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Hotel Concorde, Seksyen 9 Shah Alam, Selangor. 5hb Ogos 2026 (Rabu)

Kerajaan terus memperkukuh usaha memodenkan sektor pertanian negara menerusi pelaburan teknologi, insentif serta pengukuhan kapasiti pemain industri apabila Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, menyempurnakan Majlis Penutup Seminar Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam, hari ini.

Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 450 peserta terdiri daripada pengeluar dan pengeksport tanaman makanan serta produk industri asas tani (IAT), wakil persatuan, pegawai pengembangan dan wakil agensi berkaitan dari seluruh negara sebagai platform perkongsian ilmu, teknologi dan peluang kerjasama strategik.

Dalam ucapannya, Datuk Chan berkata penganjuran seminar berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan sektor pertanian supaya lebih moden, mampan dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata, pelaburan dalam teknologi pertanian perlu terus diperkasakan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, usahawan dan pemain industri. Menurutnya, menerusi Insentif Cukai Galakan bagi Projek Pengeluaran Bahan Makanan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, sebanyak 263 syarikat telah menerima manfaat melibatkan keluasan projek subsektor tanaman seluas 11,509 hektar dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM1.95 bilion.

Bagi memperkukuh daya tahan sektor agromakanan tempatan, beliau turut mengumumkan pelaksanaan Program Pemberdayaan Makanan Selamat Melalui Amalan Pertanian Baik Subsektor Tanaman di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan peruntukan RM17.52 juta.

Katanya, bagi tahun 2026, kerajaan menyediakan insentif bersasar berjumlah RM1.5 juta bagi menyokong pensijilan baharu dan pembaharuan sijil myGAP serta myOrganic, selain membantu menampung kos input pertanian dan menggalakkan pengeluaran hasil ladang berkualiti tinggi yang selamat untuk pengguna.

Pada majlis sama, Datuk Chan turut melancarkan Buku Pakej Teknologi Tanaman Bawang Merah, yang disifatkan sebagai panduan komprehensif dan rujukan rasmi kepada pegawai pengembangan, usahawan serta pengusaha pertanian bagi meningkatkan pengeluaran bawang tempatan dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Johari Abdullah berkata seminar berkenaan menyediakan platform penting bagi memperkenalkan pelbagai insentif, dana serta kemudahan pembiayaan teknologi kepada pemain industri.

Menurut beliau, peserta turut didedahkan kepada pelbagai isu kritikal termasuk keterjaminan makanan, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta penggunaan teknologi moden melalui pembentangan kertas kerja berimpak tinggi.

Selain sesi ilmiah, seminar itu turut menampilkan padanan perniagaan, perkongsian kejayaan usahawan bimbingan Jabatan Pertanian serta pameran melibatkan agensi kerajaan dan syarikat teknologi, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam memacu pembangunan subsektor tanaman negara.
