Sheikh Umar desak Exco Pemuda Umno turunkan hantaran, mohon maaf terbuka
Sheikh Umar Bagharib Ali mendesak Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali supaya menurunkan hantaran beliau di Threads dan segera memohon maaf atas hantaran yang berbunyi ‘majlis bacaan tahlil atas pemakaman Anthony Loke di Chennah’.”
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu menegaskan bahawa hantaran sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencemarkan imej Islam sebagai agama yang mengajar adab, ihsan dan penghormatan terhadap maruah manusia.
Beliau berkata, perbuatan sedemikian mengeruhkan keharmonian masyarakat majmuk serta memalukan umat Islam dan orang Melayu yang menjunjung nilai kesopanan serta akhlak.
“Majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak boleh diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik.
“Mempermainkan simbol dan amalan agama demi meraih perhatian atau keuntungan politik adalah perbuatan yang keji, tidak beretika dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Ia ibarat meletakkan kesucian Islam ‘di bawah tapak kaki’.
“Saya mendesak agar beliau segera menurunkan hantaran tersebut serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Sheikh Umar menengaskan bahawa perbezaan politik tidak pernah menghalalkan penghinaan terhadap agama atau penyalahgunaan amalan suci untuk menyerang lawan politik.
Malaysia memerlukan politik yang matang, beradab dan menghormati batas kemanusiaan serta kesucian agama.